UMS HARGAI PESAKIT STROK

Cetak

JUMAAT, 26 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan peserta strok yang mengikuti Program Pemulihan Kecergasan Fizikal Strok pada Rabu, di Mini Auditorium Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), UMS.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua pesakit yang mengikuti program latihan kecergasan fizikal selama tiga bulan, bermula pada Januari 2017 hingga Mei 2017 di Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal, FPP.

Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Hj. A Malek dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa bangga  kerana para pesakit strok berjaya menjalani sesi kecergasan fizikal selama tiga bulan dengan jayanya.

“Kesanggupan dan komitmen para peserta dalam menjalani latihan fizikal tersebut telah memberi semangat dan contoh disiplin kepada golongan pesakit strok yang lain untuk berusaha memulihkan semula kecergasan anggota fizikal.

“Pihaknya  akan terus menyokong  sebarang usaha penyelidikan dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat seperti yang dijalankan oleh pasukan penyelidik UMS,” katanya.

Dr. Dahlan berkata, usaha sebegini membuktikan bahawa pihak UMS sebagai salah satu institusi yang sentiasa membantu pelbagai golongan masyarakat di negeri Sabah termasuk golongan kurang upaya seperti pesakit strok.

Terdahulu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FPP, Prof. Madya Dr. D. Maryama Ag. Daud dalam ucapannya berkata, majlis tersebut amat bermakna kepada UMS kerana berjaya menjalankan satu lagi tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan pemulihan kecergasan fizikal yang lebih sistematik dan komprehensif.

“Sepanjang program pemulihan yang dijalankan, para pesakit strok telah memberikan komitmen dan menunjukkan semangat yang luar biasa bagi memulihkan kecergasan anggota fizikal yang terjejas akibat strok.

“Program ini merupakan sebuah projek yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi di bawah Transdiscplinary Research Grant Scheme (TRGS) yang bertujuan untuk menghasilkan sebuah modul latihan pemulihan kecergasan fizikal untuk pesakit strok,” tambah pakar Fisiologi Senam itu lagi.

Projek TRGS itu merupakan satu penyelidikan yang diketuai oleh Dr. D. Maryama sendiri bersama penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta pakar-pakar neurologist dan pakar rehab dari Hopsital Queen Elizabeth.

Menurut Dr. D.Maryama lagi, program pemulihan kecergasan fizikal selama lima bulan itu telah memilih pesakit strok  melalui ujian saringan bagi memastikan pesakit memenuhi semua kriteria yang telah ditetapkan oleh pasukan penyelidik.

“Selepas berjaya melepasi kriteria saringan tersebut, para  pesakit yang terpilih telah menjalani sesi pemulihan kecergasan fizikal tiga hari dalam seminggu selama tiga  bulan yang  dikendalikan oleh pembantu-pembantu projek yang terdiri daripada pelajar sarjana dan doktor falsafah serta graduan Program Sains Sukan UMS,” ujar Dr. Dayang.

Beliau turut menyuarakan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli penyelidik, kakitangan dan mereka yang terlibat bagi memastikan program latihan fizikal untuk pesakit strok itu berjalan lancar.

“Saya amat berharap badan-badan bukan kerajaan dapat tampil ke hadapan menghulurkan bantuan kepada para pesakit strok untuk menjalani pemulihan kecergasan.

“Antara bantuan yang boleh diberikan adalah menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pesakit strok yang kurang berkemampuan, bagi membolehkan mereka dapat meneruskan latihan kecergasan di Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal, FPP,  UMS dengan kos yang minima,” katanya.

Majlis penghargaan yang turut dimeriahkan dengan persembahan aktiviti fizikal daripada 24 pesakit strok turut dihadiri Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Dr. Aza Sherin Moh Yusof serta Pakar Rehab yang juga merupakan pensyarah FPSK, Prof. Madya Dr. Khin Nyien Nyien.

 

Sumber: Fakulti Psikologi dan Pendidikan