PIUMS Anjur Bengkel Penghayatan Ramadan

Cetak

ISNIN, 29 MEI – Bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) telah menganjurkan Bengkel Penghayatan Ramadan 1438H/2017M dan Kempen Derma Darah Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

Bertempat di Masjid UMS, bengkel sehari itu dihadiri lebih seratus orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UMS, Saudara baru dari Teratak Fitrah, Hidayah Centre dan Sekolah Tunas Bakti, Kota Kinabalu.

Para peserta berpeluang berkongsi pengetahuan khususnya berkaitan ibadah-ibadah dalam bulan Ramadan melalui dua slot ceramah bertajuk “Madrasah Ramadan” yang disampaikan oleh Pengarah PIUMS, Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan ceramah “Berinteraksi dengan al-Quran”yang disampaikan oleh wakil dari Sinergi Training Kota Kinabalu, Ustaz Hafiez Hamzah.

Terdahulu, menurut salah seorang jawatankuasa penganjur, Ainah Ramlan Angusa, seramai 50 orang peserta daripada kalangan staf dan pelajar UMS serta masyarakat luar telah mengambil bahagian dalam kempen menderma darah yang turut berlangsung bersempena bengkel tersebut.

Bagi menghargai para penyumbang darah, pihak penganjur telah menghadiahkan sagu hati berupa bahan asas seperti beras, minyak masak dan minuman kotak kepada penderma,” katanya.

Selain ceramah agama dan kempen derma darah, PIUMS turut menyediakan perkhidmatan antaranya kaunter klinik al-Fatihah, kaunter wakaf dan infaq atau sumbangan serta kaunter kiraan bayaran Fidyah bagi bayaran puasa yang tidak dapat ditunaikan.

Bengkel tersebut dengan penyampaian sijil penyertaan yang disempurnakan oleh Pegawai Kanan Hal Ehwal Islam, PIUMS, Md. Razali Saibin.