UMS Beri Bantuan Kepada Ahli Peroda Terpilih

Cetak

SELASA, 20 JUN – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) terus menggiatkan inisiatif dalam memberikan khidmat masyarakat pelbagai bentuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penganjuran Majlis Berbuka Puasa Bersama Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu (Peroda) baru-baru ini.

Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd. Dahlan A. Malek berkata inisiatif berkenaan adalah bagi berkongsi nikmat bulan Ramadan dengan warga OKU.

“Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia bagi umat Islam, dan sewajarnya kita berkongsi nikmat yang diperoleh bersama-sama insan yang istimewa ini.

“Justeru, kita akan adakan program sebegini dengan lebih kerap bagi menolong rakan-rakan kita yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, FPP melalui Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) UMS telah mengadakan kerjasama dengan beberapa organisasi bagi memberi bantuan kepada dua ahli Peroda yang terpilih.

Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk kewangan, bantuan makanan dan keperluan barang harian.