Kejohanan Silat Kelab Kalimah dapat Sambutan Memberangsangkan

Cetak

KHAMIS, 6 JULAI – Kelab Kalimah, Kolej Kediaman E (KKE), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan Kejohanan Silat Olahraga “Pahlawan Dirgahayu” bertempat di Kafeteria kolej itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kelab Kalimah KKE, kejohanan tersebut bertujuan untuk membuka peluang kepada para pesilat baru dan lama untuk menyerlahkan kebolehan serta ketangkasan dalam dunia persilatan di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pesilat-pesilat yang bergiat aktif di Sabah.

Menurut kenyataan itu, pelbagai Persatuan silat telah mengambil bahagian, antaranya termasuklah kontinjen daripada Kota Marudu, Tambunan, Pesaka Sandakan, Pasukan Kinabatangan, Genggam Wahyuni Beaufort dan North Borneo University College.

Tujuh orang wasit dan juri daripada Persatuan Seni Silat Sabah (PSSS) PESAKA Sabah telah mengadili kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu.

Bagi Kelab Kalimah KKE, kejohanan itu merekodkan satu peningkatan apabila berjaya meraih 1 pingat  emas, 3 perak dan 4 gangsa.

Terdapat lebih 54 perlawanan silat sepanjang kejohanan itu berlangsung yang turut menyaksikan perlawanan VIP kategori C Putera dan kategori A Puteri.

Sumber: Kelab Kalimah