Pusat Minda Lestari Raikan 49 Graduan Cilik Tamat Prasekolah

Cetak

KHAMIS, 06 DISEMBER – Seramai 49 murid diraikan pada Majlis Graduasi Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-8 yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapan perasmiannya berkata, usaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan bermula dari rumah dan ibu bapa adalah guru pertama yang dikenali anak-anak.

“Ibu bapa bertanggungjawab menanam nilai atau norma hidup yang sesuai bagi membolehkan anak-anak cemerlang pada masa depan serta menjadi manusia yang dapat memanfaatkan agama, bangsa dan negara.

“Saya yakin peranan yang dimainkan ibu bapa dan kakitangan di sini akan terus menjadi pencetus kepada kecemerlangan pendidikan dalam kalangan anak-anak di PML,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan  Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Dr. Murnizam Halik di Dewan Kuliah Pusat 1.

Datuk Dr. D Kamarudin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak pengurusan PML dan Jawatankuasa Majlis Hari Graduasi kerana berjaya menganjurkan majlis tersebut dengan gilang-gemilang.

Sementara itu, Pengarah PML, Aidah Noordin berkata, selain bertujuan memberi penghargaan kepada graduan prasekolah di PML, penganjuran Hari Graduasi itu  juga antara lain memupuk nilai-nilai murni dan kerjasama antara para pendidik dan ibu bapa.

“Tema tahun ini ‘Love Our Ocean atau ‘Sayangi Lautan Kita’ dipilih adalah bagi memupuk kesedaran kanak-kanak menjaga alam sekitar dan kepentingannya kepada manusia.

“Persiapan pentas dan persembahan mereka juga adalah mengikut tema ini,” jelas Aidah.

Hadir sama pada sambutan itu ialah Yang Dipertua KESUMBA, Datin Roha Asmara; Bendahari UMS, Zallifah Shadan; Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Dr. Connie Chin @ Connie Cassy Ompok; Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) PML, Abdul Latif Matali dan Penolong Pendaftar PML merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis, Faddili  Kasin.