UMS Terus Usaha Tambah Pelajar Dalam Bidang Sains, Teknologi Dan Kecerdasan Buatan

Cetak

SELASA, 17 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat dalam usaha menambah bilangan pelajar dalam bidang sains, teknologi, dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ia adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk memajukan bidang sains, teknologi dan Kecerdasan Buatan negara dengan menyediakan dana penyelidikan dan pembangunan yang berpatutan bagi memastikan negara turut sama serta menjadi pemandu kepada Revolusi Industri ke-4 atau IR4.0.

“IR4.0 telah menzahirkan kehebatan Internet, sains dan teknologi dengan mengambil contoh kemunculan aplikasi Airbnb, Netflix, Grab, Spotify dan Waze, dengan Aplikasi Grab misalnya hanya memerlukan enam tahun penubuhan untuk bernilai 1 bilion dollar, berbanding Microsoft yang mengambil masa 15 tahun untuk bernilai 1 bilion dollar.

“Justeru, kerajaan sedar bahawa untuk menjadi sebuah negara yang berdaya saing yang tinggi memerlukan lebih ramai sumber tenaga manusia yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang teknologi, kreatif dan berinovasi.

“Sebab itulah pihak UMS sedang berusaha untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains, teknologi, dan Kecerdasan Buatan, di mana jangkaan sebanyak 60 peratus pelajar ijazah pertama akan mengambil jurusan sains,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Asasi Sains UMS Kali Ke-9 yang berlangsung di Dewan Resital, UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail.

Tambah Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap, melalui penambahan graduan jurusan sains daripada Asasi Sains Pusat Persediaan Sains Dan Teknologi (PPST) UMS, aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju yang menekankan usaha ke arah melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan akan mampu tercapai.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada para pelajar sekalian agar terus menanam minat terhadap bidang sains, teknologi dan Kecerdasan Buatan serta bertekad dan bersemangat menjadi sebahagian daripada nadi penggerak ke arah mencapai matlamat negara.

“Buktikan kepada dunia bahawa para pelajar juga merupakan antara pelakon kepada cerita Revolusi Industri ke-4 bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia,” katanya.

Terdahulu, Pengarah PPST, Prof. Madya Ts. Dr. Sazmal Effendi Arshad berkata, PPST telah memainkan peranannya dengan berkesan dalam membantu universiti dan negara melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, jumlah pelajar Asasi Sains yang telah dihasilkan oleh PPST adalah seramai 2,000 orang bermula pengambilan pelajar sesi 2010/2011 sehingga sesi 2018/2019.

“Jumlah inilah juga yang telah disediakan kepada universiti untuk program-program ijazah sarjana muda UMS, dan dengan sokongan padu daripada pihak universiti, PPST mampu mencapai angka lebih tinggi dalam menyediakan pelajar untuk mengikuti pengajian dalam jurusan sains dan teknologi.

“Sememangnya, PPST amat komited melahirkan generasi yang akan meneruskan perjuangan dalam bidang sains dan teknologi khususnya sejajar dengan keperluan negara pada masa kini dan akan datang,” ujar Dr. Sazmal.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Rasid Mail menyampaikan sijil Asasi Sains kepada 295 graduan Asasi Sains UMS, serta empat anugerah iaitu Anugerah Naib Canselor kepada Mansura Mohameed, Anugerah Pengarah kepada Yii Ming Kai, Anugerah Pelajar Harapan kepada Alisha Shahana Mohd Sharil, dan Anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan kepada Eliezer Nevall Anthony.