Langkah Kesiapsiagaan Menghadapi 2019 Novel Coronavirus (2019-Ncov) di Universiti Malaysia Sabah

Cetak

SELASA, 04 FEBRUARI 2020 - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil perhatian serius terhadap usaha menghindari penularan jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan warganya.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS melalui Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah menempatkan petugas kesihatan untuk membuat saringan kesihatan di Pusat Maklumat Pelawat EcoCampus (EVIC) berdekatan dengan pintu masuk utama UMS khususnya pelancong asing yang datang melawat universiti ini.

“Pada masa yang sama, UMS juga mengadakan War Room membuat jelajah ke setiap fakulti dan jabatan UMS oleh Infectious Disease Preparedness Committee untuk tujuan memberikan kesedaran kepada warga UMS.

“Selain itu kita mengadakan mesyuarat Jawatan Kuasa Pengurusan 2019-nCoV UMS dan mesyuarat koordinasi HUMS secara berkala, serta mengadakan kemaskini pengetahuan bagi kakitangan di Pusat Kesihatan Universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap berkata, UMS juga menyambut baik langkah Kerajaan Negeri Sabah menggantung sementara semua penerbangan dari China ke Sabah dalam usaha membendung penularan wabak novel koronavirus di negeri ini sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, yang berkuatkuasa serta merta pada 30 Januari 2020.

Katanya, pendaftaran pelajar antarabangsa bagi pelajar kemasukan baharu pascasiswazah yang turut melibatkan pelajar warganegara China yang dijadualkan pada 08 Februari, 2020 telah ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan sepatutnya kembali untuk menyambung semula pengajian Semester 2 Sesi 2019/2020 mereka pada 10 Februari 2020, kemasukan mereka ke UMS juga telah ditangguhkan.

“Namun, pihak Universiti akan berusaha menyediakan mekanisme pembelajaran alternatif bagi membolehkan mereka mengikuti kuliah dan tidak ketinggalan dalam pengajian mereka,” jelas beliau.

Walau bagaimanapun,  pelajar antarabangsa terutamanya dari Negara China yang telah berada di Sabah, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap menjelaskan bahawa UMS telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurus dan memantau kesihatan mereka yang merangkumi pemeriksaan saringan kesihatan di Pusat Rawatan Warga UMS sebaik mereka tiba di Kota Kinabalu/Labuan.

Katanya, pengasingan selama 14 hari untuk tujuan pemantauan oleh pegawai perubatan Hospital UMS menggunakan Home Assessment Tool (HAT) akan dilaksanakan bagi memastikan hanya pelajar antarabangsa yang disahkan sihat sahaja dibenarkan untuk menyambung pengajian mereka di UMS. 

Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap turut mengingatkan seluruh warga UMS agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mencuci tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun atau bahan pembasmi kuman tangan (hand sanitizer), memakai penutup hidung dan mulut serta elakkan diri mereka daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai atau bergaul rapat dengan mana-mana individu yang mempunyai tanda-tanda jangkitan.

“Sekiranya mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk dan sesak nafas, sila dapatkan rawatan di Pusat Rawatan Warga UMS dengan kadar segera,” tambahnya.

Untuk rekod, pada 30 Januari lalu Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengumumkan penangguhan sementara pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya di semua institusi pendidikan di negara ini berikutan penularan kluster 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).