UPPsiKS Anjur Ceramah “Terokai Bakat dan Potensi Diri”

Cetak

SELASA, 3 MAC - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial telah menganjurkan ceramah yang bertajuk “Terokai Bakat dan Potensi Diri” yang berlangsung di Bilik Seminar 1, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Ceramah yang disampaikan oleh Ketua UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari menyentuh tentang keunikan setiap individu dan kepentingan setiap orang untuk mengenal pasti titik kelemahan dan kekuatan diri masing-masing.

“Setiap individu adalah unik dan keunikan tersebut yang menjadikan kita berbeza dengan individu yang lain.

“Justeru, amat penting untuk kita mengenali diri kita sendiri dan mengenal pasti titik kelemahan dan kekuatan kita agar setiap kelemahan dapat diperbaiki dan pada masa yang sama aspek kekuatan tersebut dapat ditingkatkan,” katanya.

Tambah Dr. Muhammad Idris, hasil penguasaan ilmu berkaitan mengenali diri ini juga dapat membantu orang lain untuk mengenali diri mereka.

Ceramah tersebut telah dihadiri oleh peserta yang terdiri daripada kalangan kaunselor, guru-guru, kakitangan kerajaan, pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dari dalam dan luar UMS.