Golongan OKU Mahu Disedari Dalam Masyarakat

Cetak

KHAMIS, 5 MAC - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan golongan minoriti yang ingin disedari kehadiran mereka dalam kalangan masyarakat.

Demikian menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj Bahari ketika memberi ulasan buku 'Kebahagiaan Dari Perspektif Orang Kurang Upaya' dalam satu program di Ruang Megalab, Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang pengalaman beliau berdepan dengan golongan OKU, golongan ini katanya memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Bukanlah simpati yang mereka inginkan, sebaliknya hanya sokongan dan mereka mahukan penglibatan secara langsung dalam kalangan masyarakat.

“Jika disingkap sisi kehidupan OKU, kehidupan mereka tidak seindah orang lain kerana keterbatasan mereka, namun perkara tersebut tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Ujar Dr. Muhammad Idris, hakikatnya golongan OKU juga mampu berjaya dan mengorak langkah dengan lebih jauh seandainya diberikan peluang dan juga sokongan dalam pelbagai aspek.

Buku 'Kebahagiaan Dari Perspektif Orang Kurang Upaya' boleh didapati di Kedai Buku Penerbit UMS di Bangunan Anjung Siswa, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS.