Karnival Inovasi Perniagaan Meriah

Cetak
perniagaan 2KHAMIS, 05 DISEMBER – Karnival Inovasi Perniagaan menjadi tumpuan lebih 500 pengunjung daripada warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan penduduk setempat.

Karnival anjuran Pelajar Tahun Tiga, kursus Pengurusan Perhotelan Sekolah Perniagaan Ekonomi (SPE) itu nyata cukup meriah apabila tidak putus-putus dengan kehadiran pengunjung sejak dibuka seawal jam 8.00 pagi tadi di Perkarangan Dewan Canselor UMS.

Pengelola karnival berkenaan, Song Xiu Hui ketika dihubungi media Canselori berkata, pelbagai pengisian yang dijalankan telah menjadi daya penarik kepada kehadiran mereka untuk sama-sama memeriahkan karnival tersebut.

“Antaranya, demonstrasi makanan daripada chef jemputan, sesi ceramah daripada Malaysian Association of Hospitality (MAH) serta pameran dan barangan hasil kreativiti,” ujarnya yang turut mendapat seliaan daripada pensyarah modul Atur Cara Khas,  Juliana Langgat.

Song Xiu menambah, penganjuran karnival tersebut antara lain bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai inovasi perniagaan dalam pelbagai aspek.

“Selain pelajar daripada Kursus Pengurusan Perhotelan, pelajar daripada kursus lain seperti pelajar Keusahawanan dan pelajar Sains Pengurusan Makanan juga turut terlibat dalam menjayakan acara ini,” ujarnya lagi.

Di samping itu katanya, para pengunjung juga turut disajikan beberapa jenis permainan seperti Onion Crush, Fruit Attack dan Test and Guess.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur. -SS-
 

Bahagian Media
Jabatan Canselori
 
Sumber Gambar: Johaidi Ismail, BPK