4,553 Graduan UMS diraihkan pada Majlis Konvokesyen ke-15

Cetak
Konvo webSABTU, 23 NOVEMBER - Seramai 4,553 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraihkan pada Majlis Konvokesyen ke-15 yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin yang juga Canselor UMS menyampaikan ijazah kepada 447 graduan pada sidang pertama pagi tadi, manakala sebanyak 452 graduan menerima ijazah daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman merangkap Pro-Canselor UMS pada sidang kedua, di sebelah petang.

Selebihnya akan menerima ijazah masing-masing pada sidang ketiga hingga keenam yang bersambung esok dan berakhir pada Isnin.

Semasa merasmikan sidang pertama hari ini, Tun Hj. Juhar berkata, gelanggang persaingan yang ada di depan mata hendaklah diisi dengan keyakinan, pengetahuan dan kemahiran. Katanya, banyak usaha telah diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan dan universiti-universiti awam dengan memberi penekanan dalam meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dengan memperhebatkan lagi program-program bagi melengkapkan siswazah dengan nilai tambah.

“Salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah kemahiran insaniah. Saya percaya, kemahiran insaniah adalah antara isu yang menjadi fokus utama dalam pengajian di universiti-universiti tempatan, sama ada secara langsung ataupun tidak,” ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi, situasi global pasaran kerja pada masa kini memperlihatkan para majikan bukan sahaja memerlukan pekerja yang mempunyai kelayakan akademik semata-mata, bahkan menguasai pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, menyelesaikan masalah, kepemimpinan, pengurusan selain bijak dan memiliki kebolehan berfikir, bertindak secara tuntas, pantas dan praktikal.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tan Sri Datuk Abdul Hamid Egoh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) di samping penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada bekas Naib Canselor UMS, Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Turut mendapat gelaran Profesor Emeritus ialah bekas Pensyarah Sejarah, Sekolah Sains Sosial UMS, Prof. Dr. Sabihah Osman yang tidak berkesempatan hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah ketika berucap dalam sidang kedua menasihatkan graduan supaya memanfaatkan ilmu sebagai pembudayaan hidup ke arah kebaikan sejagat.

"Ilmu adalah cahaya dalam memberi sinar penunjuk jalan buat menemani hidup yang fana di atas pentas dunia yang bersifat sementara ini. Marilah kita sama-sama mengharungi kesempatan hidup untuk mengamalkan kebaikan sebagai pembentuk citra beradab, sopan santun, saling memahami, menerima kekurangan adalah bukti kesempurnaan ciptaan Tuhan lambang kerendahan hati sebagai orang yang berilmu,” katanya lagi.

Turut hadir, Pro-Canselor UMS, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Yeoh Ting Lay dan Pegawai-pegawai Utama UMS. -SS


Bahagian Media
Jabatan Canselori