Perarakan Berjubah UMSKAL Meriah

Cetak
berjubah labuanISNIN, 18 NOVEMBER – Sejumlah 300 pelajar dan warga Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) terlibat pada Majlis Perarakan Berjubah di Labuan hujung minggu lalu.
 
Perarakan yang dimulakan di Menara Perbadanan Labuan pada jam 8.30 pagi mengambil masa selama 30 minit dengan jarak sejauh kira-kira 1 kilometer menuju ke Dataran Labuan yang diketuai oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, dekan-dekan sekolah serta warga kampus UMSKAL.
 
Menurut Datuk Dr. Harun, perarakan ini adalah simbolik suatu perjalanan seorang mahasiswa yang berhempas-pulas dan berkorban masa serta tenaga selama tiga hingga lima tahun bagi mendapatkan segulung ijazah.
 
“Ketika masih dalam pengajian, UMS membekalkan ilmu untuk mengukuhkan jati diri, modal insan dan kemahiran untuk dikongsi dengan masyarakat. Pelajar diajar meningkatkan keazaman dan memurnikan cita-cita untuk memajukan diri dan masyarakat umumnya,” tambah beliau lagi.
 
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Nadzri Osman, kerjasama pintar antara Perbadanan Labuan dengan UMSKAL telah lama wujud yang sudah tentunya banyak memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
 
“Penubuhan UMSKAL telah banyak membantu mempromosikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab pendidikan yang terkenal di rantau ini melalui kehadiran pelajar dari seluruh negara dan antarabangsa terutama dari negara China, Tanzania dan Turki.
 
Sesungguhnya, sumbangan warga UMSKAL dan pihak UMS yang sering kali mengadakan program di pulau ini seperti mesyuarat pengurusan dan aktiviti pelajar sangat besar maknanya kepada Perbadanan Labuan, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selain peniaga tempatan.”
 
Pada majlis tersebut, graduan turut dianugerahkan replika kunci daripada Perbadanan Labuan sebagai simbolik keizinan graduan UMSKAL menjadi warga Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Majlis yang meriah ini turut diberikan kerjasama oleh Perbadanan Labuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik (PDRM), Jabatan Penerangan, PALAPES, SUKSIS dan PALAPES Udara.
 
Turut hadir pada majlis tersebut, YB Senator Datuk Yunus Kurus, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr Ismail Ali dan pegawai-pegawai utama UMS. -CD-


Bahagian Media
Jabatan Canselori