UMS Hulur Bantuan kepada Mangsa Gempa Bumi

Cetak

Sumbangan gempa RanauISNIN, 15 JUN – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bukan sahaja berperanan sebagai gedung ilmu tapi juga sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Atas keperihatinan itu, satu Misi Bantuan Gempa Bumi diketuai Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah telah diadakan di Dewan Kinabalu, Kinabalu Park, Kundasang pada Ahad.

Datuk Dr. Harun telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM24,000 kepada empat waris keluarga mangsa dan juga kepada Persatuan Malim Gunung.

Menurut beliau, sumbangan itu adalah hasil kutipan daripada kolej-kolej kediaman UMS dan juga warga UMS sendiri.

Justeru beliau berkata, sumbangan itu serba sedikit diharap dapat meringankan beban keluarga mangsa malim gunung yang terkorban sambil menyatakan rasa hiba dan berharap para keluarga sentiasa tabah menghadapinya.

Antara yang hadir termasuklah waris keluarga mendiang Robbi Sapinggi, mendiang Valerian Joannes, mendiang Joseph Salungi dan waris mendiang Ricky Masilin.

Turut serta dalam misi tersebut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali; Pemangku Pendaftar, No’man Datuk Hj Ahmad; Pengetua Kolej, barisan kepimpinan MPP dan JAKMAS Kolej kediaman.

Rombongan UMS disambut Timbalan Pengarah Sabah Park, Mac Larin Hj. Lakim.-NB

Foto : Johaidi Ismail
Bahagian Media dan Citra
Sumber: Norhana Nordin HEPA