KRUMS Takluk Kanyon Imbak

Cetak

krumsISNIN, 11 MAC 2013 - Seramai 30 kakitangan daripada Kelab Rekreasi Universiti Malaysia Sabah (KRUMS) telah menjalankan eksplorasi di Kawasan Konservasi Kanyon Imbak baru-baru ini.

Menurut Biro Rekreasi KRUMS, Hasmi Hashim, rombongan itu menaiki lapan pacuan empat roda milik kakitangan UMS yang secara sukarela membawa para peserta hingga tiba di lokasi yang ingin ditujui.

Katanya, perjalanan tersebut amat mencabar dan memerlukan kemahiran pemanduan yang tinggi terutama dalam melepasi halangan lumpur tebal akibat hujan yang berpanjangan.

“Dengan semangat berpasukan yang padu semua rintangan lumpur setinggi paras peha, jurang dan cerun licin berjaya diharungi dengan jayanya,” ujar beliau.

Menurutnya, pelbagai aktiviti pembelajaran telah dilakukan seperti aktiviti eksplorasi huran sejauh 3.8 Kilometer ke Big Belian Camp (BBC) untuk mengenali pokok Belian serta Kapur dengan lebih dekat. Selain itu turut diadakan eksplorasi ke Air Terjun Imbak selebar 30 meter dengan pendakian beberapa cerun tinggi yang amat mencabar, serta ramah mesra bersama peserta Raleigh International yang kebetulan sedang berada di BBC Camp untuk kerja amal.

“Rombongan juga berkesempatan melihat pelbagai jenis serangga serta menikmati keunikan flora dan fauna di hutan simpan kelas pertama itu. Kami juga berkesempatan menanam sejumlah 20 buah pokok buah-buahan yang ditandakan dengan nama-nama peserta,” katanya yang juga Penolong Pendaftar Kanan di Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM).

Tambahnya, nama presiden KRUMS, Prof. Dr. Shariff A.K Omang yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) turut diabadikan pada sebuah pokok durian yang ditanam.

Pada eksplorasi itu juga, KRUMS telah menyumbangkan dua unit komputer terpakai kepada Sekolah Kebangsaan Imbak serta cenderahati kepada semua pelajar tahun enam sekolah tersebut sebagai tanggungjawab sosial korporatnya.

 

Oleh: Salbinous Saribun,BPK