Warga UMS Disaran Contohi Budaya Integriti Negara Jepun Dan Korea

Cetak

1JUMAAT, 8 MAC - Warga UMS disaran untuk membudayakan amalan integriti seperti masyarakat Jepun dan Korea. Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, penduduk di negara tersebut menjalankan kehidupan dengan suasana harmoni, selamat dan jarang berlakunya kecurian.

“Di Korea dan Jepun jika tertinggal telefon bimbit di restoran, esok datang kembali telefon itu masih ada. Ramai kawan saya berpengalaman tertinggal kamera di lapangan terbang Jepun dan tersedar tatkala berada di dalam teksi untuk ke hotel. Bila berpatah balik dia mendapati kamera miliknya masih ada di atas kerusi.”

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Integriti peringkat Universiti Malaysia Sabah hari ini. Hadir sama, Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Abdullah Hj. Mohd Said dan Pegawai-Pegawai Utama UMS.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Mohd Harun turut memberitahu bahawa transformasi tadbir urus akademik UMS juga memerlukan perubahan paradigma yang dilihat mampu memberi kesan terhadap cara berfikir dan cara bertindak dalam mengatur strategi ke arah mempercepatkan operasi pelaksanaan. Justeru katanya, fungsi utama transformasi itu juga perlu diintegrasikan dengan fungsi asas pengajian tinggi iaitu pencarian ilmu dan meningkatkan tahap intelek rakyat yang relevan dengan dasar pendidikan peringkat menengah dan matrikulasi serta dasar-dasar lain yang berkaitan.

“Mengambil kira transformasi yang sedang UMS jalankan, roh masyarakat berilmu di pengajian tinggi harus diterjemahkan pada setiap perlakuan warganya bagi kekal relevan mempromosikan nilai integriti. Kata Imam Al Ghazali, ilmu yang tidak disertakan dengan amal itu gila, dan amal yang tidak disertai ilmu itu akan sia-sia,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyuarakan harapan agar seluruh warga UMS meneruskan usaha penambahbaikan dalam bidang kerja masing-masing dengan berlandaskan kepada tiga aspek iaitu perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti.  Lebih seribu warga universiti hadir bagi menjayakan Majlis itu yang diadakan di Kompleks Dewan Kuliah kampus berkenaan.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Johaidi Ismail, BPK