Jangan Percaya Khabar Angin: Presiden MPP

Cetak

mppKHAMIS, 07 MAC - Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Juhar Harun mengingatkan agar siswa-siswi tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan melalui laman sosial dan pesanan ringkas (SMS) berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.

Menurut beliau, para pelajar harus mendapatkan info daripada pihak pengurusan universiti sekiranya ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung isu tersebut.

“Seperti yang kita sedia maklum pihak pengurusan universiti telah memberi jaminan bahawa keselamatan pelajar adalah terjamin. Justeru para pelajar tidak perlu bimbang dan terus memberi keyakinan penuh terhadap keupayaan anggota keselamatan yang kini bertungkus-lumus mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui pemberita UMS.

Pelajar tahun akhir Sekolah Sains Sosial (SSS) itu turut mengingatkan agar para pelajar UMS tidak terlibat dalam penyebaran khabar-khabar angin.

“Khabar angin hanya merumitkan keadaan dan menjadikan suasana panik. Justeru, hindari daripada menjadi agen penyebar palsu dan terus menumpukan aktiviti pembelajaran dan kuliah seperti biasa,” ujarnya lagi.

Selasa lalu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah telah mengumumkan dua hotline yang beroperasi 24 jam untuk kemudahan para pelajar dan ibu bapa yang ingin mengetahui perkembangan semasa universiti. Talian tersebut ialah 088-320 854 dan 088-320 855. Turut disediakan talian pesanan SMS di 014-556 6033.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Musaab Umair, BPK