KENYATAAN AKHBAR NAIB CANSELOR UMS

Cetak

logoums1. Adalah dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah, tidak akan sesekali berkompromi dengan isu keselamatan pelajar UMS. Kami sentiasa mendahulukan keselamatan pelajar berbanding hal yang lain.

2. Dalam situasi pihak keselamatan negara mendepani ancaman pencerobohan, saya menasihatkan para pelajar usah terpengaruh dengan khabar angin yang dapat mencetuskan suasana panik sehingga mengganggu fokus pada pembelajaran. Saya ingin jelaskan, suasana pembelajaran masih berjalan seperti biasa dan penutupan kampus tidak berlaku sebagaimana yang diwar-warkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

3. Situasi terkini menunjukkan tiga buah kampus UMS yang merangkumi Kampus Tetap di Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan berada dalam zon selamat dan amat terkawal.

4. Pihak UMS sentiasa berhubung dari masa ke semasa, dengan pasukan keselamatan untuk mengetahui kondisi sebenar perkembangan terkini. Setiap maklumat secara rasmi akan dikeluarkan pihak universiti dan disebarkan kepada umum menerusi capaian pada laman sesawang rasmi UMS di alamat http://www.ums.edu.my.

5. Justeru itu, saya merasakan para ibu bapa tidak perlu khuatir dengan keselamatan anak-anak mereka, Insya Allah keselamatan pelajar keutamaan kami. Setakat ini pihak keselamatan memberi jaminan bahawa keadaan terkawal memandangkan lokasi ketiga-tiga kampus UMS berada jauh dari zon operasi keselamatan.

6. Sebagai langkah awal meredakan khabar angin, pihak Polis telah mengadakan taklimat keselamatan di Kampus Sandakan pada 04hb Mac 2013 pukul 3.00 petang.

7. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan menerusi e-mail:Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. ; tel: 088-320854 dan 088-320855 atau sms ke 014-5566033

 

 

PROF. DATUK DR. MOHD. HARUN ABDULLAH

NAIB CANSELOR

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH