Mahasiswa dan Pelajar Fahami Hak Pengguna

Cetak
Seminar Pengguna CDRABU, 14 MEI -  Seramai 110 peserta menjayakan program Ceramah Kepenggunaan anjuran Kolej Kediaman Cemerlang Dinamik (CD) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
 
Ceramah kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu merupakan program yang julung kali seumpamanya dengan  melibatkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, SMK Taman Tun Fuad, SMK Benoni dan SMK Sanzac selain para pelajar UMS sendiri.
 
Penganjurannya antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya mahasiswa universiti dan sekolah menengah tentang hak-hak sebagai pengguna dan cara tuntutan yang boleh dilakukan sekiranya berlaku kes penipuan dalam urus niaga.
 
Program selama tiga jam ini telah telah disampaikan dua penceramah jemputan melalui dua slot yang telah disediakan.
 
Penceramah pertama, Jahida Usok telah mengupas isu Tribunal Pengguna dengan menjelaskan secara terperinci peraturan dan hak pengguna untuk memfailkan tuntutan terhadap ganti rugi bagi kerugian yang ditanggung oleh pengguna.
 
Manakala, slot kedua disampaikan Penolong Pengarah KPDNKK, Kasim Anak Mana  yang telah menyampaikan ceramah berhubung isu penipuan terhadap pengguna khususnya dalam kalangan remaja yang sering menggunakan sistem online dalam urusan pembelian barangan.
 
Hadir sama, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman CD, Dr. Puteri Haryati Megat Ahmad dan Felo Penyelaras, Kamsiah Budin. -SS

 
Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori
 
Sumber: Kolej CD