SSMP Catat Pencapaian Cemerlang Pada Seminar MIFT Ke-8

Cetak

ssmpKHAMIS, 21 MAC - Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan (SSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempamerkan pencapaian cemerlang  apabila memenangi beberapa acara yang dipertandingkan  dalam seminar Malaysian Institute of Food Technology (MIFT) baru-baru ini.

Seminar tersebut yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu menyaksikan dua kumpulan yang mewakili UMS iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B masing-masing mendominasi dua tempat teratas iaitu Johan dan Naib Johan bagi acara Food Bowl Quiz kategori prasiswazah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SSMP, ia merupakan kali kedua berturut-turut pasukan UMS menjadi johan dalam kategori tersebut. Lebih menarik lagi, kenyataan itu turut memberitahu bahawa dalam kedua-dua kejohanan,  dua daripada tiga pasukan yang memasuki peringkat akhir adalah dari UMS.

Menurut kenyataan itu lagi, kemenangan Kumpulan A UMS yang terdiri daripada Nurfusheila Darysa, Chang Syh Syh, Cheng Yueh Fang dan Lee Poh Yoke sekaligus membolehkan pasukan itu terpilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Food Bowl Quiz peringkat ASEAN yang akan diadakan pada 9-11 September 2013 di Singapura. Pasukan Kumpulan B UMS pula diwakili oleh Joanne Teh Wei Seen, Shahidatul Nurain Shamsuddin, Koh Shun Xian dan Lizie S. Gintoron.

Sementara itu, bagi kategori Pascasiswazah, pasukan UMS juga turut menjuarai acara Oratory yang buat julung kalinya disertai melalui peserta Kevin Yau Kian Hung selain menjadi Naib Johan bagi acara Oral Seminar yang diwakili oleh Ng Seah Young.

Acara yang diadakan dua  tahun sekali itu antara lain bertujuan untuk mendedahkan siswa-siswi serta pelajar pascasiswazah bidang Sains dan Teknologi Makanan seluruh negara terhadap aktiviti-aktiviti anjuran MIFT seperti pertandingan kuiz, pembentangan seminar dan pertandingan pembangunan produk makanan baharu.

Delegasi UMS diketuai Dekan SSMP, Prof. Madya Dr. Sharifudin Md. Shaarani yang turut hadir bersama beberapa kakitangan akademik yang lain iaitu Dr. Mohd Rosni Sulaiman, Prof. Madya Dr. Chye Fook Yee, dan Dr. Patricia Matanjun.

Dalam kenyataan itu, Pihak SSMP turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah atas sokongan padu yang diberikan. Di samping itu, pihak SSMP juga berterima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) UMS yang diterajui Timbalan Naib Canselornya, Prof. Madya Datuk Dr. Hj. Kasim Hj. Md. Mansur atas bantuan kewangan yang diberikan. - SS

 

Sumber:  Mohd Rosni Sulaiman dan Gahzali Nurillah, SSMP