NIOSH Bantu UMS Jayakan Pelaksanaan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan

Cetak

NioshRABU, 20 MAC – Pelaksanaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah langkah yang bijak dalam memastikan keselamatan para kakitangan dan pelajar universiti terus terjamin selain sebagai langkah untuk memberi pendedahan dalam  menghayati Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1991 (Akta 514).

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya, ia hendaklah bermula dari pihak pengurusan yang perlu memahami keperluan perundangan tersebut.

Beliau berkata, sumber tenaga manusia pada masa kini adalah pemangkin kepada kemajuan sesebuah organisasi termasuk IPT sekaligus menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara. Sehubungan itu katanya, peranan dan sumbangan setiap pekerja ini dilihat sebagai faktor yang amat penting dan perlu dihargai.

“Sebagai pengiktirafan dan tanda penghargaan peranan dan sumbangan mereka, soal-soal berkaitan dengan kepentingan keselamatan dan kesihatan inilah yang perlu dititikberatkan. Komitmen kerajaan dalam perkara ini amat jelas dan telah diterjemah menerusi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Galeri, Bangunan Canselori UMS.

Tambah beliau, akta tersebut menyediakan rangka untuk memupuk, merangsang dan mengalakkan pencapaian mutu keselamatan kesihatan yang tinggi di semua tempat kerja.

“Sekiranya aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak diutamakan dalam organisasi atau sesebuah IPT, ia boleh membawa risiko kemalangan hingga mungkin menyebabkan kematian atau kecederaan pada pekerja, pelajar, kontraktor serta orang awam.”

“Oleh itu, pihak pengurusan IPT mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kakitangan serta golongan lain yang berada di dalam kawasan institusi dengan mengambil langkah untuk mengurus risiko kemalangan dlam institusi ini agar kerugian yang disebabkan oleh kemalangan di tempat kerja dapat dikawal,” ujarnya lagi. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Sharil Yusof; Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS, Prof. Madya Dr. Shamsul Bahari Shamsudin dan Pengurus NIOSH Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Husin Abdul Salam. 

Sementara itu, dalam sidang media pada majlis sama Tan Sri Lee memberitahu NIOSH akan membantu UMS mewujudkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sehingga mendapat persijilan MS1722:2011 dan OHSAS18001:2007.

Katanya, kerjasama NIOSH dengan UMS tertumpu kepada promosi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) kepada seluruh warga universiti itu, yang bukan hanya menitikberatkan prestasi akademik tetapi juga keselamatan warganya.

"Ini juga adalah satu mesej kepada ibu bapa bahawa pihak pengurusan UMS mementingkan keselamatan para pelajarnya, yang kini seramai lebih 17,000 orang," ujarnya lagi.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Musaab Umair, BPK