UMS Sumbang RM30,000 Kepada Perwira Negara

Cetak

dermaSELASA, 19 MAC - Pelbagai pihak terus tampil ke hadapan menyalurkan bantuan kepada perwira negara yang terkorban dan cedera dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman pengganas yang menceroboh di Lahad Datu dan Semporna.

Baru-baru ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyumbang bantuan berjumlah RM30,000 hasil kutipan derma Tabung Perwira daripada warga kakitangan dan pelajar universiti.

Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS,  Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah kepada Pengurus Edaran New Strait Times Press (NSTP) Media Prima Sabah, Dominic Sylvester Olas pada Malam Penghayatan ‘Pray For Sabah’ di Dataran Canselor. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur; Pendaftar UMS, Datuk Abdullah Hj. Mohd Said; Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Ag. Amit dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Mohd. Juhar Harun.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia khususnya bagi seluruh warga UMS tanpa mengira kaum, bangsa dan agama untuk sama-sama memikul tanggungjawab dalam mengekalkan kedamaian serta kemakmuran negara.

“Setiap daripada kita seharusnya mempunyai sikap untuk tidak mementingkan diri sendiri, tetapi perlu mengutamakan kepentingan negara dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya.

Pada majlis itu, para pegawai Utama dan siswa-siswi UMS turut menandatangani kain rentang ‘Pray For Sabah’ sebagai tanda sokongan terhadap anggota keselamatan negara yang sedang berjuang mempertahankan kedaulatan negara.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Ramdan Nain, BPK