Artikel Oleh:
Dr. Rizal Zamani Idris
Pensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
& Pengarah Pusat Komunikasi Korporat
Setiap kali tibanya 16 September, rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia dengan penuh rasa syukur dan bangga. Tarikh ini mengingatkan kita kepada detik bersejarah tahun 1963 apabila Sabah dan Sarawak bersatu dengan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia. Hari Malaysia bukan sekadar cuti umum dalam kalendar; ia adalah simbol kesepakatan, pengorbanan dan keberanian rakyat pelbagai kaum dan agama yang sanggup hidup bersama di bawah satu bumbung negara.
Keamanan yang kita nikmati dapat dilihat dalam pelbagai sudut kehidupan kita sebagai rakyat negara ini. Anak-anak bebas bersekolah tanpa rasa takut, masyarakat dapat beribadat mengikut kepercayaan agama masing-masing dan kita boleh duduk semeja dengan rakan-rakan kita walaupun berlainan bangsa. Namun, sering kali kita lupa bahawa nikmat ini tidak datang dengan mudah. Ia dibayar dengan perjuangan generasi terdahulu dan dipelihara melalui semangat tolak ansur serta perpaduan rakyat. Lebih penting, nikmat ini sebenarnya boleh hilang dalam sekelip mata sekiranya tidak dijaga dengan baik.
Jika kita menoleh ke sekitar rantau, kita akan sedar betapa bernilainya keamanan dan perpaduan yang kita kecapi di Malaysia selama ini, sedangkan negara-negara jiran sedang bergelut dengan pelbagai isu dalaman yang menggugat keamanan sosial mereka.
Di Indonesia, rakyat turun ke jalan raya bagi membantah elaun serta pelbagai keistimewaan yang diberikan kepada ahli Parlimen, sedangkan masyarakat umum berdepan tekanan ekonomi yang semakin meruncing akibat kos sara hidup yang tinggi. Protes besar-besaran yang bermula di Jakarta kemudian merebak ke beberapa bandar utama lain yang kemudiannya bertukar menjadi rusuhan. Ketegangan ini memperlihatkan betapa rapuhnya kestabilan sosial apabila jurang antara elit politik dan rakyat semakin melebar.
Situasi di Thailand semakin bergolak apabila Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Ogos 2025 ekoran kebocoran perbualan telefon diantara beliau dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada Jun tahun ini. Perlucutan jawatan tersebut telah memperdalam perpecahan politik, sekali gus menyerlahkan ketidakstabilan yang sekian lama membayangi negara tersebut. Pada masa yang sama, konflik bersenjata di wilayah selatan seperti Pattani dan Narathiwat terus berlanjutan dengan insiden serangan kecil, pembakaran harta benda serta ancaman terhadap keselamatan awam. Perkembangan ini menambahkan lagi situasi ketidaktentuan yang merumitkan usaha mewujudkan kestabilan di Thailand.
Sementara di Nepal, rakyat melancarkan protes besar-besaran menentang rasuah, kelemahan pentadbiran dan masalah ekonomi yang semakin meruncing. Demonstrasi ini mengakibatkan kerosakan harta benda, kecederaan dan korban jiwa. Ketidakpuasan hati rakyat yang lama terpendam akhirnya meletus dan kerajaan terpaksa mengambil langkah kecemasan untuk mengawal keadaan.
Selain itu di Australia, tercetus baru-baru ini tunjuk perasaan besar-besaran di bandar-bandar utama seperti Melbourne dan Sydney. Protes anti-imigran ini disertai ribuan orang dengan slogan keras mengkritik dasar imigrasi negara tersebut. Umum mengetahui bahawa Australia mempunyai sejarah lampau yang agak kontroversi berkait dasar imigresen. Perkembangan semasa menunjukkan bagaimana isu migrasi jika tidak ditangani dengan baik berupaya untuk mencetuskan polarisasi mendalam dalam masyarakat.
Contoh-contoh ini cukup untuk membuka mata kita bahawa keamanan tidak boleh diambil mudah. Kita akui, Malaysia juga tidak sunyi daripada cabaran politik, ekonomi dan sosial. Namun, kita masih mampu untuk mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian. Walaupun wujud perbezaan pendapat, rakyat Malaysia masih memilih meja rundingan, dialog dan demokrasi sebagai jalan penyelesaian.
Perlu diingat bahawa kestabilan dalaman merupakan kunci kepada kemajuan dan kemakmuran negara. Sebuah negara yang aman akan lebih dihormati serta diyakini di peringkat global. Malaysia, dengan imej sebagai sebuah negara berbilang kaum yang mampu hidup dalam keharmonian, menjadi contoh kepada dunia bahawa kepelbagaian adalah kekuatan dan bukannya kelemahan. Keadaan ini juga membolehkan Malaysia memainkan peranan yang lebih aktif di persada antarabangsa umpamanya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta arena global yang lain tanpa dibebani oleh masalah dalaman yang serius.
Oleh itu, Hari Malaysia tahun ini wajar dijadikan ruang untuk kita merenung kembali nikmat yang ada. Keamanan dan perpaduan bukan sesuatu yang kekal tanpa usaha. Ia menuntut pengorbanan dan kesedaran berterusan. Dengan saling menghormati, menolak kebencian serta membina jambatan antara kaum dan agama, kita mampu memastikan Malaysia terus kekal sebagai tanah air yang aman dan makmur.
Sebagai rakyat, kita terhutang budi kepada generasi terdahulu yang telah berkorban memperjuangkan kemerdekaan. Kini, tiba giliran kita untuk mempertahankan perpaduan agar anak-anak kita kelak turut merasai nikmat yang sama, hidup di Malaysia yang merdeka,aman dan sejahtera.