[ARTIKEL BIUMS Siri 23/2025]
Disediakan oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS
Integriti merupakan asas kepada budaya kerja cemerlang di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Bagi memastikan persekitaran kerja yang amanah, profesional dan bebas salah laku, setiap warga UMS diberikan saluran rasmi untuk membuat aduan berhubung sebarang pelanggaran etika atau tatakelakuan. Namun begitu, aduan integriti hanya boleh diproses dengan berkesan sekiranya ia dikemukakan secara lengkap, jelas dan disokong oleh maklumat yang tepat. Artikel ini menghuraikan tatacara membuat aduan integriti yang betul di UMS supaya setiap aduan dapat diterima, disiasat dan ditangani dengan sewajarnya.
MEMAHAMI JENIS SALAH LAKU INTEGRITI
Aduan integriti biasanya melibatkan isu seperti salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah, ketidakpatuhan prosedur kewangan, gangguan seksual, perebutan kepentingan (conflict of interest), ketidakhadiran bertugas, atau penyalahgunaan aset universiti. Mengetahui kategori salah laku membantu pengadu menghuraikan aduan dengan lebih teratur dan tepat.
MENGGUNAKAN KERANGKA 5W1H
UMS menerima aduan berdasarkan kaedah 5W1H yang menjadi piawaian dalam pengurusan siasatan.
1. What (Apa berlaku?)
Nyatakan perbuatan atau salah laku secara spesifik.
2. Who (Siapa terlibat?)
Sertakan nama, jawatan atau butiran pengenalan yang munasabah.
3. When (Bila ia berlaku?)
Catat tarikh, masa atau tempoh kejadian.
4. Where (Di mana ia berlaku?)
Nyatakan lokasi seperti fakulti, pejabat, makmal atau platform digital.
5. Why (Mengapa ia salah?)
Kaitkan dengan peraturan UMS, tatakelakuan penjawat awam, atau SOP universiti.
6. How (Bagaimana kejadian berlaku?)
Terangkan rentetan peristiwa secara ringkas dan kronologi.
MELAMPIRKAN BUKTI SOKONGAN
UMS menggalakkan pengadu menyediakan bukti asas seperti gambar, video, e-mel, mesej, dokumen, salinan borang atau kenyataan saksi. Bukti tidak perlu sempurna, namun harus cukup untuk menunjukkan bahawa dakwaan tersebut wajar disiasat.
Contoh Aduan yang kabur (Tidak Memadai)
“Saya rasa seorang staf di fakulti saya menyalahgunakan kuasa. Banyak orang tidak puas hati, tetapi tiada siapa berani bersuara.”
Masalah contoh ini:
1. Tiada nama individu atau jawatan.
2. Tiada tarikh atau masa.
3. Tiada lokasi atau bukti.
4. Mengandungi frasa “saya rasa”, berunsur spekulatif.
Aduan seperti ini berisiko tinggi ditolak (NFA – No Further Action) kerana tiada asas siasatan.
Contoh Aduan yang jelas (Diterima untuk siasatan)
“Pada 18 Oktober 2025, jam lebih kurang 3.00 petang, seorang pegawai pentadbiran Gred 41 di Fakulti XXX telah menggunakan kenderaan rasmi UMS (nombor pendaftaran XXX123) untuk tujuan peribadi ke pusat membeli-belah Imago. Saya melampirkan gambar, tarikh dan masa yang tertera pada foto sebagai bukti. Tindakan ini melanggar Arahan Keselamatan Aset UMS dan merupakan penyalahgunaan kemudahan universiti.”
SALURAN ADUAN RASMI DI UMS
Pengadu boleh mengemukakan aduan melalui:
1. Bahagian Integriti UMS (BIUMS)
2. E-mel rasmi integriti
3. Surat rasmi bertandatangan
KESIMPULAN
Aduan integriti yang baik ialah aduan yang lengkap, tepat dan berfakta. Dengan menggunakan kerangka 5W1H dan melampirkan bukti sokongan, proses siasatan dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan. Setiap warga UMS bertanggungjawab memastikan integriti menjadi budaya utama dalam perkhidmatan universiti.