Belanjawan Sabah 2026: Pencetus Pembangunan Mapan

Cetak

 

Artikel oleh Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, Naib Canselor UMS

 

 

 

Belanjawan Sabah 2026 dibentangkan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun selaku Menteri Kewangan pada 12 Disember 2025 bertema “Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan”. Belanjawan ini suatu yang bersifat ’serampang banyak mata’.  Belanjawan ini juga berupaya mendepani cabaran tahun 2026 seiring pengukuhan asas fiskal dan peningkatan pelaburan, didorong oleh pemulihan sektor pelancongan, pertumbuhan aktiviti perdagangan serta peningkatan guna tenaga. Pada tahun 2024, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah meningkat kepada RM84.3 bilion berbanding RM83.4 bilion pada tahun sebelumnya.  Sabah menyumbang RM5.1 peratus kepada ekonomi negara dan berada pada kedudukan ketujuh sebagai penyumbang utama KDNK Malaysia. Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negeri dengan nilai RM44.2 bilion, diikuti sektor Perlombongan dan Pengkuarian sebanyak RM18.5 bilion, sektor Pertanian RM12.1 bilion, sektor Pembuatan RM6.1 bilion dan sektor Pembinaan RM3.0 bilion (Jadual 1).

 

Table 1 KDNK Sabah Mengikut Jenis Aktiviti Ekonomi Pada Harga Malar 2015 (RM ’000)

 

Jenis Aktiviti Ekonomi

2020

2021

2022

2023e

2024p

Pertanian

12798

12518

12549

12628

12205

Perlombongan dan Pengkuarian

19936

20574

20455

19535

18551

Pembuatan

6042

5931

5780

6033

6103

Pembinaan

2197

2368

2517

2490

2958

Perkhidmatan

36597

37369

40605

42413

44209

KDNK Pada Harga Pembeli

77840

79000

82176

83363

84303

Sumber: Laporan Sosioekonomi Negeri Sabah

Nota:

P = peramalan

e = penganggaran

 

Tahun 2025 Sabah mencatatkan pertumbuhan makro yang amat memberansangkan.  Kepesatan perdagangan antarabangsa antara Sabah dan negara-negara luar tidak dapat dinafikan. Sehingga September 2025, Sabah mencatat lebihan imbangan dagangan sebanyak RM8 bilion, dengan jumlah eksport RM43.7 bilion dan import RM35.6 bilion. Walaupun berdepan tekanan perdagangan global, ekonomi Sabah kekal berdaya tahan dengan kadar inflasi 1.1 peratus, purata pendapatan isi rumah meningkat kepada RM6,498 sebulan dan kadar kemiskinan menurun, mencerminkan peningkatan kesejahteraan rakyat serta prospek pertumbuhan yang lebih mampan pada tahun 2026.

 

Belanjawan Sabah 2026 dijangka mampu mempercepatkan pembangunan ekonomi Sabah.  Belanjawan ini juga menumpu kepada keseimbangan sosioekonomi, memperkasa modal insan, meningkatkan infrastruktur asas serta memperkukuh kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Kerajaan mencadangkan anggaran Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion, sekali gus mencatat lebihan belanjawan RM28 juta. Tumpuan belanjawan ini adalah kepada program dan aktiviti berorientasikan pembangunan jangka panjang untuk menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemudahan awam. Antara kementerian menerima peruntukan tertinggi ialah Kementerian Kewangan berjumlah RM2.899 bilion, diikuti Kementerian Kerja Raya dan Utiliti sebanyak RM1.122 bilion dan Jabatan Ketua Menteri sebanyak RM792.83 juta. Manakala kementerian-kementerian lain seperti kementerian pertanian, pembangunan luar bandar, kerajaan tempatan, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan belia juga mendapat pengagihan yang ”reasonable” bagi memastikan pembangunan Sabah dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan.

 

Kerajaan Sabah berjaya mengekalkan kedudukan fiskal yang stabil dengan pungutan hasil sebanyak RM6.842 bilion pada tahun 2024. Bagi Anggaran Hasil Disemak 2025, kutipan meningkat kepada RM6.658 bilion, dipacu oleh Cukai Jualan Negeri, sumbangan Kerajaan Persekutuan serta hasil pelaburan. Untuk tahun 2026, Anggaran Hasil diunjurkan berjumlah RM6.430 bilion, dipengaruhi oleh ketidaktentuan harga komoditi utama seperti petroleum dan minyak sawit mentah. Daripada jumlah ini, hasil cukai dianggarkan RM2.771 bilion, hasil bukan cukai RM2.348 bilion, manakala terimaan bukan hasil berjumlah RM1.311 bilion.

 

Perbelanjaan Pembangunan Sabah bagi tahun 2026 dicadangkan berjumlah RM1.865 bilion.  Tentunya jumlah ini adalah bersifat relatif kecil berbanding saiz Sabah yang besar.  Sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri, melibatkan peruntukan RM1.468 bilion daripada Kerajaan Negeri serta RM397.21 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk pinjaman dan bayaran balik persekutuan. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, siling peruntukan pembangunan keseluruhan sebanyak RM12.02 bilion bagi melaksanakan 1,173 program dan projek pembangunan, sekali gus merupakan peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah belanjawan Sabah. 241 projek sambungan dan 932 projek baharu dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

 

Tiga sektor utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan merupakan pilihan yang tepat sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri pada tahun 2026. Usaha memperkasa sektor-sektor ini disokong oleh pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti, pengukuhan modal insan berkemahiran tinggi, penerapan sains dan teknologi terkini serta penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan.

 

KETERJAMINAN MAKANAN

 

Sektor pertanian, perikanan dan industri makanan terus menjadi tunjang pembangunan sosioekonomi Sabah.  Peranan sektor ini amat penting sebagai pemangkin keterjaminan makanan dan mampu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.   Sebanyak RM559.85 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bagi tahun 2026.  Manakala RM75.75 juta diperuntukkan untuk pengoperasian dan bantuan kepada nelayan, petani serta penternak.

 

EKONOMI BIRU

 

Belanjawan 2026 memperlihatkan kelainan dengan mengambilkira lokasi Sabah yang strategik, dikelilingi oleh tiga lautan.  Belanjawan ini dilihat mampu memperkukuh pembangunan ekonomi biru. Pelbagai inisiatif strategik yang menekankan pengurusan sumber marin secara mampan, inovasi berasaskan sains, serta pemerkasaan komuniti pesisir. Susulan daripada persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024, pelbagai projek dan kolaborasi telah dilaksanakan, termasuk penubuhan Majlis Ekonomi Biru Sabah, Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim di Universiti Malaysia Sabah, serta Memorandum Persefahaman Blue Financing dengan Maybank Group Global Banking. Bagi tahun 2026, Kerajaan Sabah memperuntukkan RM1 juta untuk penyediaan Pelan Induk Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, manakala RM900,000 disalurkan kepada Jabatan Perikanan Sabah bagi melaksanakan Inisiatif Ekonomi Biru Perikanan, sekali gus menyokong keterjaminan makanan, pembangunan komuniti pesisir dan pertumbuhan ekonomi mampan di negeri ini.

 

SABAH SEBAGAI DESTINASI PELABURAN

 

Setakat suku kedua 2025, Sabah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.368 bilion, merangkumi pelaburan dalam dan luar negara dalam sektor Pembuatan, Perkhidmatan dan Sektor Utama. Daripada jumlah itu, sektor Pembuatan menerima RM7.472 bilion, sektor Perkhidmatan RM3.139 bilion, manakala sektor utama (Perindustrian, Pelancongan dan Pertanian) menyumbang RM757 juta. Pencapaian ini meletakkan Sabah di kedudukan kelima tertinggi penerima pelaburan di Malaysia, mengatasi jumlah pelaburan 2024 sebanyak RM6.458 bilion. Antara pelaburan besar yang menjadi pemangkin pertumbuhan industri ialah pelaburan fasa satu Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. dari Singapura bernilai RM6.592 bilion untuk pembinaan kilang pembuatan keluli hijau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, termasuk pembinaan jeti persendirian bagi menyokong aktiviti logistik.  Pelaburan ini dijangka menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengukuhkan rantaian bekalan industri keluli tempatan.

 

Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM249.19 juta bagi pembangunan sektor Perindustrian pada tahun 2026. Sebanyak RM194.04 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan serta agensi di bawahnya untuk memacu pertumbuhan, promosi pelaburan dan aktiviti perdagangan. Program Keusahawanan Negeri menerima RM5 juta, manakala peruntukan untuk ekspo antarabangsa sebanyak RM16.86 juta. Program Bantuan SME-UP, RM1.5 juta untuk Program Pemerkasaan Produk Desa, dan RM2.05 juta untuk program berimpak tinggi seperti Sabah Sandbox Accelerate 2026 dan Pitchborneo juga sebagai fokus utama sektor ini. Taman-taman perindustrian KKIP, POIC Lahad Datu, SOGIP, projek SEDCO, projek cerun, jejantas dan lokomotif baharu telah juga diberi keutamaan untuk memperkasakan infrastruktur pelabuhan termasuk projek terminal, jeti dan pemantauan trafik perkapalan.

 

Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) untuk meransang sektor pelancongan, projek baharu seperti Muzium Baharu Sabah, Kota Kinabalu Performing Arts Centre (KKPAC), Arte Museum, Galeri Marin di Taman Tun Mustapha Kudat, serta peningkatan kemudahan pelancongan di Pulau Bohey Dulang, Semporna, Petagas War Memorial Park, Muzium Etnik Ranau, Pusat Kebudayaan Penampang dan Pusat Kebudayaan Murut Tenom. Pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026–2030 bagi mendokumentasikan kepelbagaian etnik dan budaya Sabah secara sistematik antara agenda besar untuk menarik pelancong ke Sabah.

 

MODAL INSAN

 

Pembangunan Modal Insan merupakan nadi pertumbuhan pembangunan.  Belanjawan 2026 memperuntukkan RM437.93 juta pada tahun 2026 untuk pembangunan modal insan, merangkumi aspek akademik, kemahiran, spiritual, dan latihan vokasional. Kini ekonomi berteraskan digital dan AI, belanjawan 2026 memberi penekanan kepada kursus-kursus berorientasikan TVET, STEM, inovasi digital, minyak & gas, hospitaliti, keselamatan & kesihatan, pertanian dan latihan perladangan kelapa sawit. Dalam persiapan pemerkasaan Modal Insan, Kerajaan meneruskan bantuan pendidikan seperti biasiswa, dermasiswa, BUDI, BAIK, BAKTI, SUBFLY, SENTOSA, dan memperkenalkan BAYU sebanyak RM150 seorang untuk 8,458 pelajar menduduki MUET pada 2026.

 

Pemerkasaan kaum wanita dan golong-golongan lain tidak dipinggirkan.  Sebanyak RM173.56 juta diperuntukkan kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR). OKU, warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, anak yatim dan golongan miskin, termasuk penerima rawatan hemodialisis dan pusat-pusat Autisme Sabah juga menerima sumbangan dalam belanjawan ini. Taman Didikan Kanak-Kanak Kelainan Upaya di Nabawan (RM12.69 juta). Program kesedaran masyarakat seperti kekeluargaan, kesihatan, kepenggunaan dan kepimpinan wanita diperuntukkan RM960 ribu, manakala PEMADAM Sabah menerima RM550 ribu untuk program pencegahan dadah.

 

 

Dalam usaha Kerajaan untuk menarik penglibatan belia dalam bidang sukan juga mendapat perhatian.  Sebanyak RM98.06 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif bagi Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan pada 2026. Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) telah dipertanggungjawabkan untuk pencarian bakat atlet, latihan berprestasi tinggi dan persediaan atlet Paralimpik, termasuk kajian kebolehlaksanaan Stadium Utama Kota Kinabalu.

 

PEMBASMIAN KEMISKINAN

 

Kerajaan Sabah komited membasmi kemiskinan dengan pelaksanaan Program Menoktahkan Miskin Tegar dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR). Bantuan kewangan RM300 sebulan kepada 100,000 penerima miskin dan miskin tegar. Setakat 3 November 2025, Sabah mencatat 0 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar tentunya memberi kelegaan kepada penerima. Sebanyak 55,782 KIR masih berstatus miskin dan menjadi fokus intervensi. Pada 2026, program berimpak tinggi seperti Program MySMJ Profiling, Rumah Mesra SMJ, Bantuan Pendidikan, Program MySMJ Kerja dan Program SYUKUR akan diperluas.

 

Belanjawan 2026 juga kekal memfokus kebajikan masyarakat luar bandar.  Sebanyak RM317.72 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Tumpuan diberi terhadap pelaksanaan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB).

 

Dalam menangani isu jalan raya dan air yang sering menjadi topik hangat diperkatakan , belanjawan 2026 memperuntukkan RM4.80 bilion kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti. Bajet ini sudah tentu memberi manfaat yang signifikan, menyeluruh dan merentasi daerah di seluruh Sabah.  Antara program yang akan diberi keutamaan ialah naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) di Papar, Lahad Datu, Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan, termasuk penyelenggaraan aset kritikal. Projek pembetungan seperti Loji Enap Cemar Ranau, pembaikan paip kritikal di Kota Kinabalu dan Tawau, serta kajian semula Pelan Induk Sistem Pembetungan Negeri (RM2 juta) antara yang akan diberi keutamaan. Dua projek berimpak tinggi Loji Rawatan Kumbahan Kota Kinabalu Selatan dan Tuaran dengan RM20 juta berupaya memberi impak signifikan kepada pelan pembangunan di kawasan ibukota dan dipingir yang kini mengalami kepesatan pembangunan.

 

Kerajaan Sabah memperuntukkan RM195.56 juta bagi pelbagai program kelestarian biodiversiti dan sumber semula jadi. Belanjawan 2026 juga menitik berat kepada penyelidikan dan pembangunan program bioteknologi bagi manfaat industri, perubatan dan pertanian.

 

Menyedari peripenting sumbangan GLC kepada pertumbuhan belanjawan ini menekankan tadbir urus korporat dalam Badan Berkanun Negeri (BBN) dan GLC. Melalui penubuhan JPP-KKNS dan SALIC bagi memantau prestasi, pinjaman dan pelaburan. Gesaan YAB Ketua Menteri untuk GLC mengemukakan laporan secara berkala bertepatan memastikan tidak berlaku pelanggaran integriti

 

Tidak dinafikan belanjawan Sabah 2026, memperuntukkan sejumlah besar dana untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri secara menyeluruh. Peruntukkan kepada tatakeoloa yang baik pastinya mampu memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kesejahteraan sosial, dan memastikan pembangunan inklusif serta mampan untuk rakyat Sabah dapat direalisasikan.

 

Belanjawan Sabah 2026 memberi impak signifikan terhadap pembangunan ekonomi, sosial, infrastruktur, dan tadbir urus negeri.

 

Dari segi ekonomi, peruntukan besar kepada sektor utama seperti pertanian, perindustrian, dan pelancongan dijangka menjadi pencetus pertumbuhan mapan. Sektor pertanian dan perikanan, melalui pembangunan projek moden serta penyediaan bantuan kepada petani, nelayan, dan penternak, meningkatkan produktiviti luar bandar serta pendapatan isi rumah. Pembangunan industri makanan dan ekonomi biru pula memperkukuh keselamatan makanan dan ekonomi pesisir, sambil menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Sektor perindustrian, melalui pelaburan domestik dan asing, termasuk projek kilang keluli hijau, meningkatkan pelaburan, pengeluaran, dan rantaian bekalan tempatan. Sektor pelancongan pula memberi impak langsung kepada komuniti melalui peningkatan kemudahan pelancongan, promosi budaya dan warisan, serta projek baharu seperti muzium, pusat seni, dan galeri marin, yang seterusnya menjana ekonomi kreatif serta peluang pekerjaan tempatan.

 

Pelaksanaan program strategik ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat, tetapi juga meletakkan Sabah sebagai wilayah progresif dan stabil, selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 dan Rancangan Malaysia Ke-13. Potensi pertumbuhan tentunya terserlah jika 40 peratus daripada hasil Sabah disalur kembali sebagai suntikan.  Kesan penganda akhirnya akan terhasil.