UMS Kongsi Ilmu Melalui Rentas Borneo

打印
Rentas Borneo 14ISNIN, 24 MAC - Sebanyak 20 pacuan empat roda menyertai Rentas Borneo anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memulakan siri jelajah Sabah pagi tadi.
 
Dalam ucapan aluan pada majlis pelancarannya, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata; pogram tersebut seiring dengan sambutan ulang tahun UMS yang ke-20 pada tahun ini sekali gus bertujuan mempromosi universiti kepada masyarakat khususnya di kawasan pedalaman.
 
“Para peserta akan melalui jalan darat dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang akan ke destinasi yang telah dikenal pasti iaitu Nabawan, Tanjung Labian dan Beluran. Rombongan kita disertai oleh Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS dan Kelab Pacuan Empat Roda Kota Kinabalu dengan dilengkapi peralatan keselamatan, pelekat dan bendera yang menonjolkan imej Universiti Malaysia Sabah,” ujarnya lagi. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Prof. Dr. Ismail Ibrahim.
 
Menurut Datuk Dr. Harun, objektif utamanya adalah menyebarkan maklumat mengenai penawaran kursus-kursus di UMS secara terus kepada masyarakat pedalaman Sabah.
 
Selain itu katanya, ia sebagai aktiviti amal dan khidmat masyarakat melalui khidmat doktor perubatan secara percuma di lokasi persinggahan di samping mempamerkan budaya 1Malaysia melalui aktiviti kebudayaan daripada kumpulan kebudayaan pelajar-pelajar UMS.
 
“Saya yakin aktiviti sebegini bukan sahaja dapat mempromosikan UMS kepada masyarakat di pedalaman Sabah tetapi juga mendekatkan warga universiti kepada masyarakat luar,” tambahnya lagi.
 
Rentas Borneo yang mengambil masa selama tujuh hari itu telah sempurna dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Hj. Ahmad Ayid di Dataran Dewan Canselor. –SS
 

Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori