SPE Car Boot Sale Terap Nilai Keusahawanan Dalam Mahasiswa

打印
Car boot sale speRABU, 27 NOVEMBER – Cuaca terik tidak menghalang para pengunjung untuk hadir memeriahkan Car Boot Sale yang diadakan di perkarangan tempat letak kereta Sekolah Perniagaan Ekonomi (SPE), Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
 
Tinjauan media Canselori setakat jam 11.00 pagi tadi menyaksikan program anjuran sekolah itu melalui Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KKRSPE) nyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada kakitangan dan siswa-siswi UMS.
 
Antara barangan yang diniagakan termasuklah buku-buku, peralatan sukan, pakaian-pakaian terpakai selain buah-buahan tempatan seperti durian.
 
Wakil penganjur, Amer Azlan Abdul Jamal ketika ditemui berkata, program tersebut bukan sahaja dibuka kepada warga UMS malah turut mempelawa masyarakat sekitar untuk sama-sama berniaga daripada kereta masing-masing.
 
Tambah beliau, sejak pukul 8.00 pagi, hampir 500 orang telah mengunjungi tapak perniagaan yang menyajikan pelbagai barangan yang dijual pada kadar harga yang murah dan berpatutan.
 
“Atas sambutan yang di luar jangkaan ini, pada tahun hadapan kita merancang untuk mengadakan program ini secara dua kali setahun,” ujarnya yang juga merupakan pensyarah di sekolah berkenaan.
 
Dalam pada itu, Presiden KKRSPE, Tauffeck Hj. Guntok pula berkata, penganjuran Car Boot Sale bertujuan untuk melatih siswa-siswi dan kakitangan dalam bidang keusahawanan.
 
Ujarnya, sebanyak 26 kereta telah mengambil bahagian untuk menjual barangan masing-masing termasuk beberapa syarikat luar seperti Nestle dan Maggie.
 
Seorang kakitangan akademik, Abdul Latif Lai, turut menyatakan usaha penganjuran program itu adalah sangat baik.
 
Katanya, selain menerapkan budaya keusahawan khususnya dalam kalangan siswa siswi,  ia juga sebagai medan untuk membantu mereka yang memerlukan untuk mendapatkan barangan yang menepati citarasa dan keperluan pada harga yang cukup murah.
 
“Sehingga jam 10.00 pagi tadi, saya telah berjaya menjual 80% daripada barangan rumah yang kini kurang diperlukan. Daripada tidak digunakan, lebih baik kita jual untuk mereka yang memerlukan dengan harga yang jauh di bawah harga pasaran,” jelas beliau yang buat pertama kalinya menyertai program itu. -SS
 
 
 
Bahagian Media
Jabatan Canselori