126 Mahasiswa Sertai Pameran Poster UMS

打印
Pameran Poster DiomeraISNIN, 08 JUN - Seramai 126 pelajar Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Pameran Poster anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) di Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Pensyarah program Sains Sukan yang juga penasihat pameran tersebut, Pathmanathan Suppiah berkata, penyertaan pada kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana mengabungkan kursus Biomekanik Sukan, Identifikasi Perkembangan Bakat dan Psikologi Gunaan Sukan antara pelajar Tahun 2 dan Tahun 3 Sains Sukan.

“Pameran ini amat bertepatan dan mampu menghasilkan golongan pelapis yang berpotensi tinggi untuk menampilkan hasil karya yang kreatif, inovatif dan berkualiti,” ujarnya pada program tersebut.

Turut hadir dua lagi pensyarah Sains Sukan, Dr. Mohd. Nizam Nazaruddin dan Hasnol Nordin.

Dalam pada itu, salah seorang panel juri, Ravi Margapandu menyatakan rasa kagum sikap ingin belajar yang ditunjukkan pelajar-pelajar program berkenaan.

Beliau yang merupakan tenaga pengajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya turut memberitahu akan membawa idea penganjuran program tersebut untuk diaplikasi di IPG Gaya.

“Saya dan panel juri berbangga dengan penganjuran pameran poster ini dan akan membawa idea-idea pameran ke IPG kami, ” katanya.

Salah seorang peserta, Diomera Darniati Oscar pula melahirkan rasa bangga kerana diberi peluang untuk terlibat sama dalam pameran tersebut.

“Pameran ini memberi pengetahuan dan pengalaman baharu dalam kalangan pelajar Sains Sukan dan berharap agar ia akan diteruskan lagi pada masa hadapan,” katanya yang kini menuntut dalam Tahun 2 di UMS.

Majlis perasmiannya disempurnakan Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Prof. Dr Ismail Ibrahim. –SS


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Program Sains Sukan