Gempa Bumi Sabah: Mahasiswa UMS Selamat

打印

Pelajar UMS UlangkajiJUMAAT, 05 JUN - Ibu bapa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinasihatkan agar tidak panik dan bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka berhubung kejadian gempa bumi sederhana bermagnitud 6.0 pada skala richter yang memberi impak gegaran beberapa daerah di Sabah awal pagi tadi.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, tiada sebarang kecederaan dan kerosakan dilaporkan di universiti itu termasuk di Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Cawangan Sandakan.

“Semua warga UMS termasuk mahasiswa dalam keadaan baik, namun siasatan secara menyeluruh  kini dijalankan bagi memastikan bangunan-bangunan dan kawasan persekitaran universiti sentiasa dalam keadaan selamat,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Jelasnya, siasatan itu dilaksanakan melalui penubuhan Pasukan Siasatan Bencana Alam meliputi kesemua bangunan-bangunan serta cerun-cerun bukit yang terdapat di dalam kampus.

Beliau berkata, pasukan itu yang diketuai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Shahril Yusof menjangkakan laporan siasatan siap sepenuhnya pada pukul 3.00 petang ini.

“Pihak pentadbiran UMS turut mengedarkan risalah keselamatan melalui laman sesawang mengenai perkara-perkara yang perlu dilakukan sekiranya menghadapi situasi sama pada masa akan datang.

“Kita juga sentiasa bersedia untuk membantu, berkerjasama dan menyediakan pakar-pakar Geologi untuk mengkaji gempa bumi ini,” tambah Datuk Harun.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan sekeras-kerasnya terhadap kenyataan yang disebarkan melalui aplikasi laman sosial yang kononnya terdapat kenyataan daripada ahli Geologi UMS yang menyatakan terdapat gegaran susulan akibat gempa bumi tersebut.

“Ia tidak benar, dan pihak UMS tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Jika anda ingin mendapat pengesahan atau kesahihan maklumat yang menggunakan nama UMS, boleh terus menghubungi Bahagian Media dan Citra UMS di talian 088-320000 sambungan 1493 dan 1296,” ujarnya lagi.  

Sementara itu, tinjauan petugas media UMS turut mendapati para pelajar masih menjalankan rutin seperti biasa dan kini meluang lebih masa di Perpustakaan UMS sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan semester yang akan bermula minggu hadapan. 
 

Video pengalaman beberapa pelajar UMS berdepan gegaran tersebut boleh ditonton melalui akaun Youtube UMS
.-SS&ZMD

Bahagian Media dan Citra