Sukan Dekatkan UMS Labuan dengan Komuniti Setempat

打印
takraw kalSELASA, 31 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) akan mengadakan pelbagai program untuk mendekatkan Universiti Awam (UA) itu dengan masyarakat setempat.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata acara sukan merupakan salah satu pendekatan yang diambil oleh pihak universiti bagi memastikan hubungan baik yang sedia terjalin dengan penduduk tempatan akan berterusan.

Beliau berkata warga universiti termasuk pensyarah, pegawai, kakitangan dan mahasiswa diminta supaya mengadakan lebih banyak program yang membabitkan masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan.

“UMSKAL akan mengadakan pelbagai program untuk mendekatkan universiti dengan pemimpin, masyarakat dan komuniti setempat, “ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Tertutup UMSKAL di gelanggang UMS Labuan, baru-baru ini.

Dr Murnizam berkata pendekatan tersebut selaras dengan hasrat Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah yang mahu hubungan universiti dengan masyarakat termasuk pemimpin tempatan dipertingkatkan lagi dengan mengadakan program kemasyarakatan seperti sukan, gotong-royong, aktiviti keagamaan dan sosial.

Pertandingan itu menyaksikan Kampung Sungai Miri muncul juara dan naib juara manakala pasukan mahasiswa di tempat ketiga. –SS


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Azri Onn