UMS Transformasi Penampilan dan Etiket Profesional Pemimpin Pelajar

打印
kursus kepimpinan pelajarRABU, 11 JUN - Seorang pemimpin harus memiliki gaya penampilan diri yang mantap juga berkesan seiring dengan pakaian yang bersesuaian serta mengetahui cara penampilan yang khusus kepada kesesuaian susuk tubuh dan personaliti individu.
 
Justeru, baru-baru ini, UMS melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) telah menganjurkan Kursus Penjenamaan Imej Profesional dan Protokol Pelajar kepada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) serta Jawatankuasa Tertinggi Kelab/Persatuan dan mahasiswa UMS.

Menurut penyelaras kursus, Norhana Nordin, penganjuran itu adalah sebagai satu usaha Jabatan HEP yang berada dibawah naungan Timbalan Naib Canselor, Prof. Madya Datuk Dr. Hj. Kasim Hj. Md. Mansur untuk mentransformasi penampilan dan etiket profesional para pemimpin pelajar agar lebih berketrampilan dan berkeyakinan dalam memikul tanggungjawab selaku pemimpin siswa siswi di UMS.

“Ketrampilan perlu diutamakan bagi membina daya penarik sebagai seorang pemimpin. Bila kita sudah memiliki kemahiran komunikasi, imej dan solekan, beberapa perkara juga penting bagi membina daya penarik kepada pelajar-pelajar yang lain. Ini penting, supaya insan-insan sekeliling kita akan menyenangi sekali gus  akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kita,” ujarnya ketika ditemui media Canselori.

Program itu yang disertai 45 pemimpin mahasiswa UMS telah dikendalikan penceramah bertauliah, Siti Mizalwa  Idris. -SS


Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

Gambar: Musaab Umair