BahasaMelayuMalaysiaEnglish (UK)

GALLERY

Galeri BORNEENSIS

    Sebagai tambahan kepada fasiliti sedia ada, Galeri BORNEENSIS telah dirasmikan pada 13 Mac 2016 oleh YBhg. Prof. Datuk Harun Bin Abdullah, Naib Canselor UMS pada ketika itu bersama-sama dengan YBhg. Tun Dato’ Seri Zaki Bin Tun Azmi, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS dan YBhg. Datuk Jame Alip, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah pada ketika itu. Galeri BORNEENSIS mempamerkan pelbagai aktiviti penyelidikan yang dijalankan di IBTP dalam bidang biologi tropika dan pemuliharaan serta penggunaan sumber biologi secara mapan.

    Galeri ini juga mempamerkan kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di Sabah yang mana penekanan adalah kepada spesimen yang sukar dijumpai, unik serta endemik kepada negeri Sabah serta mempunyai nilai dalam pemuliharaan seperti gibbon, binturong, tikus bulan, tenggiling, musang tenggalung, dan sebagainya. Turut dipamerkan ialah model rangka tulang gajah pigmi yang diberi nama ‘Tagas’. Model ini merupakan satu-satunya model rangka tulang gajah pigmi yang dipamerkan diseluruh dunia.

  1. PAMERAN “TAGAS : BORNEO PYGMY ELEPHANT SKELETON”

    Projek ini merupakan projek kerjasama di antara Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Jabatan Hidupan Liar Sabah dan JICA (Japan International Cooperation Agency).

    Tagas merupakan seekor Gajah Pigmi Borneo jantan yang berumur dalam lingkungan 12 tahun. Tagas telah diselamatkan daripada kawasan ladang kelapa sawit di Tagas-tagas, Beluran pada 10hb Januari 2011. Kemudian, ia dipindahkan ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi pada 14hb Januari 2011 dan mati pada 10hb April 2011. Pada tahun 2015, Jabatan Hidupan Liar Sabah telah memberi kebenaran kepada Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan untuk menggali semula rangka tulang gajah.

Dengan bantuan JICA, Dr Hiroshi Sawamura, Kurator daripada Ashoro Fossil Museum, Hokkaido, Jepun telah dikenalpasti dan dijemput untuk membantu menegakkan rangka tulang gajah untuk dipamerkan di Galeri BORNEENSIS.

PAMERAN ARAS 1

 

Pameran di Aras 1 boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:

 

Central Feature : mempamerkan poster tentang BORNEENSIS serta bidang kajian di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan disamping mempamerkan spesimen yang unik seperti spesies kupu-kupu yang endemik di Borneo, spesies baru siput darat, periuk kera “Nepenthes rajah” yang endemik di kawasan pergunungan Gunung Kinabalu, rangka tulang orang utan dan sebagainya.

 

Lowland Forest : mempamerkan spesies flora dan fauna yang hidup di kawasan hutan tanah rendah seperti binturong, tenggiling, tikus bulan, gibbon, rafflesia, periuk kera dan sebagainya.

 

Highland Forest : mempamerkan replika tumbuhan yang hidup dikawasan tanah tinggi

 

Invertebrate Section : mempamerkan kepelbagaian spesies haiwan invertebrata seperti semut, kupu-kupu, kumbang, serangga ranting, lipas serta siput daratan berdasarkan bidang kajian yang selalu dibuat di IBTP. Sebagai contoh: serangga camourflage, serangga yang mempunyai kepentingan dalam ekosistem (pengurai, serangga perosak dan sebagainya)

 

Aquatic Section : mempamerkan diorama bidang kajian di persekitaran akuatik seperti pemonitoran kualiti ekosistem air tawar di Sabah oleh penyelidik IBTP,

Di Aras ini juga disediakan mikroskop untuk kegunaan para pelawat yang ingin melihat morfologi pelbagai jenis serangga dengan lebih jelas. Para pelawat boleh melihat pelbagai spesies serangga yang berwarna-warni serta mempunyai morfologi yang unik dan menarik.

 

PAMERAN ENCLAVE

Para pelawat akan melalui ruang pameran enclave ini untuk ke Pameran di Aras Bawah. Sepanjang laluan, terdapat enam (6) buah enclave yang mana setiap satu mempamerkan pameran yang berbeza.

 

Enclave 1 Kepelbagaian fungi : mempamerkan sebahagian daripada replika fungi yang terdapat di Negeri Sabah. Sebahagian daripadanya merupakan spesies fungi yang beracun.

 

Enclave 2 Kepelbagaian lumut : mempamerkan kepelbagaian lumut yang boleh didapati terutamanya dikawasan pergunungan seperti di Gunung Kinabalu.

 

Enclave 3 Kepelbagaian serangga : mempamerkan kepelbagaian jenis serangga

 

Enclave 4 Tanah tinggi : mempamerkan diorama untuk ekosistem tanah tinggi

 

Enclave 5 Ekosistem lantai hutan : mempamerkan diorama ekosistem lantai hutan. Pelbagai jenis sarang anai-anai serta keratan rentas sarang semut juga boleh didapati di enclave ini.

 

Enclave 6 Ekosistem paya bakau : mempamerkan diorama untuk ekosistem paya bakau. Pokok bakau hidup di pesisiran pantai, muara sungai, di sekeliling pulau dan di kawasan pengaruh air pasang surut. Di antara hidupan yang boleh dijumpai dikawasan ini ialah monyet belanda (proboscis monkey), krustasia, burung bangau dan ikan.

 

PAMERAN ATRIUM

 

Ketika melangkah ke kawasan atrium, para pengunjung akan menikmati suasana serta pengalaman para penyelidik membuat kajian di hutan. Alunan bunyi yang dihasilkan oleh pelbagai haiwan dan serangga menambahkan lagi suasana riuh di hutan. Tapak perkhemahannya lengkap dengan ruang memasak, ruang makan serta ruang kerja. Pelbagai kaedah menangkap haiwan dan serangga turut dipamerkan. Poster maklumat do and don’t semasa melakukan perkhemahan juga turut dipamerkan.

 

PAMERAN ARAS BAWAH

 

Pameran di aras bawah terdiri daripada spesimen sepertimana di bilik koleksi BORNEENSIS iaitu spesimen saintifik yang disimpan secara awet kering dan juga awet basah. Spesimen awet basah merupakan spesimen yang disimpan didalam balang berisi 70% etanol. Di aras ini juga terdapat ruangan yang mana para pengunjung boleh mencuba pelbagai jenis permainan seperti puzzle dan kuiz.