
LAWATAN SAMBIL BELAJAR KAFA UMS KE U-SCIENCE PERKASA PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN
Kota Kinabalu, 8 Julai 2026 – Seramai 252 orang pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) daripada sesi pagi dan sesi petang telah menyertai Program Lawatan Sambil Belajar ke U-Science, Universiti Malaysia Sabah, sebagai usaha memperkaya pengalaman pembelajaran melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Program ini juga turut diiringi oleh Encik Suhaimie bin Sahabuddin selaku Yang di-Pertua PIBG KAFA UMS, Puan Noorisah binti Taljid selaku Ketua Unit KAFA UMS, ahli PIBG, guru-guru KAFA UMS serta urus setia yang memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang lawatan berlangsung.
Program yang dianjurkan oleh KAFA UMS ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar terhadap aplikasi sains, teknologi dan inovasi melalui aktiviti interaktif yang disediakan oleh U-Science UMS. Inisiatif ini turut menyokong usaha memperkukuh pembelajaran di luar bilik darjah serta memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM sejak usia muda.
Sepanjang lawatan, para peserta berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti pembelajaran dan demonstrasi sains yang memberi pengalaman secara langsung kepada pelajar. Pendedahan tersebut bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap konsep-konsep sains, malah turut menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti serta semangat ingin meneroka ilmu dalam suasana pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan.
Penganjuran lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan KAFA UMS dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang holistik, berkualiti dan seimbang kepada para pelajar. Melalui pendedahan kepada persekitaran pembelajaran yang lebih dinamik, program ini diharap dapat melahirkan generasi yang berilmu, berfikiran kritis, berakhlak mulia serta mampu menghayati kepentingan ilmu pengetahuan dalam pembangunan diri dan masyarakat.