
BENGKEL TOT GURU KAFA UMS 2026 PERKASA KOMPETENSI PENDIDIK MELALUI PERKONGSIAN AMALAN TERBAIK
Kota Kinabalu, 18 Julai 2026 – Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai Bengkel Training of Trainers (TOT) Guru KAFA UMS 2026 yang berlangsung di Bilik Perbincangan, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS). Bengkel ini dianjurkan sebagai platform pembangunan profesional bagi memperkukuh kompetensi guru dalam aspek pengurusan, pentadbiran dan penyelarasan dokumentasi KAFA UMS agar lebih sistematik, cekap dan berkesan.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah diberi pendedahan serta latihan berkaitan penyediaan fail bayaran yuran bulanan KAFA UMS, penyediaan fail bayaran yuran pelajar mengikut kaedah pembayaran (manual dan potongan gaji), penyediaan laporan kutipan yuran bulanan, penyelarasan fail pentadbiran guru, serta pengurusan dan penyimpanan rekod pelajar mengikut prosedur yang ditetapkan. Bengkel ini turut memberi ruang kepada guru-guru untuk berkongsi amalan terbaik, menyelaras kaedah pelaksanaan tugasan serta membincangkan penambahbaikan dalam memastikan pengurusan KAFA UMS dilaksanakan secara lebih teratur dan efisien.
Selain memperkukuh aspek pentadbiran, bengkel ini turut menjadi medium untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan guru melalui perkongsian pengalaman, penyelarasan proses kerja serta pemantapan kefahaman terhadap tanggungjawab masing-masing dalam memastikan pengurusan KAFA UMS berjalan dengan lancar.
Penganjuran Bengkel TOT Guru KAFA UMS 2026 mencerminkan komitmen berterusan Pusat Islam UMS dalam memperkukuh profesionalisme guru serta meningkatkan kualiti pengurusan dan pentadbiran KAFA. Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang bengkel ini dapat diaplikasikan dalam pelaksanaan tugas harian, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan pendidikan Islam yang lebih berkualiti, sistematik dan berintegriti.