Kota Kinabalu, Sabah — KAFA UMS melalui Pusat Islam UMS telah menganjurkan Mini Karnival Riang Ria KAFA UMS sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Sabah 2025 pada 11 Oktober 2025 bersamaan 19 Rabiulakhir 1447H, bertempat di Masjid Universiti Malaysia Sabah.
Program yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 1.00 petang ini menghimpunkan lebih daripada 60 peserta yang terdiri daripada anak-anak kakitangan UMS, pelajar KAFA sekitar daerah Manggatal, serta orang awam. Mini karnival ini menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturrahim dan menyemarakkan semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui aktiviti yang berunsur dakwah dan pendidikan.
 
Antara acara yang dipertandingkan termasuklah Pertandingan Nasyid Dewasa (15 tahun ke atas), Pertandingan Sajak, Hafazan, dan Rekacipta Kreatif, yang berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat umur. Program turut diserikan dengan pameran mini, gerai jualan komuniti, serta ruang aktiviti interaktif kanak-kanak yang menekankan nilai-nilai akhlak mulia dan kasih sayang sesama insan.
 
Menurut Pengerusi KAFA UMS, Puan Noorisah binti Taljid program ini bukan sahaja menghidupkan sambutan Maulidur Rasul dalam suasana ceria dan inklusif, tetapi juga mendidik masyarakat untuk meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
 
“Mini Karnival Riang Ria KAFA UMS ini kita rancang supaya nilai Islam dapat disampaikan dalam bentuk yang ringan, menyeronokkan, dan mendidik. Ia juga satu platform untuk menghargai usaha para guru dan pelajar KAFA yang menjadi tunjang pendidikan Islam di kampus,” ujar beliau.
 
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan UMS serta kerjasama strategik pelbagai agensi tempatan yang terlibat dalam pendidikan dan komuniti Islam sekitar Kota Kinabalu.
 
Klik pautan berikut untuk melihat foto-foto berikutnya: https://www.facebook.com/share/p/1BC5Q2pnH5/
-----------------------------------------------------------------------
Disediakan oleh:
Bahagian Pendidikan & Zakat (BPZ)
Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS)