Kota Kinabalu, 31 Oktober 2025 – Unit Zakat, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Jerayawara Taklimat dan Semakan Kaunter Zakat Penggajian (PZB) Bil. 10–11/2025 dengan kerjasama Tabung Haji telah menganjurkan hari pembukaan Kaunter Bergerak Zakat Penggajian (PZB) dan Kaunter Bergerak Tabung Haji di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 
Program Jerayawara ini telah berlangsung selama 3 hari di lokasi utama, iaitu Fakulti Kejuruteraan pada 28–29 Oktober 2025 dan Perpustakaan UMS pada 30 Oktober 2025. Penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Komputeran dan Informatik, serta Jabatan Perpustakaan UMS.
 
Menariknya, penganjuran kali ini turut disertai oleh pihak Tabung Haji, yang telah mengadakan taklimat khas berkaitan peranan dan perkhidmatan Tabung Haji, di samping membuka kaunter perkhidmatan bagi kemudahan warga kampus. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Yang Berusaha Hajah Siti Kuriah binti Osman, Pengurus Tabung Haji Kota Kinabalu, dan Puan Noorisah binti Taljid Timbalan Ketua Pegawai Hal Ehwal Islam dari Bahagian Pendidikan dan Zakat, Pusat Islam UMS.
 
Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kerja UMS terhadap kewajipan berzakat, di samping memudahkan urusan pembayaran serta semakan taksiran zakat secara terus melalui Kaunter Zakat Bergerak. Inisiatif ini turut menjadi platform berterusan bagi memberi pendedahan mengenai pelbagai jenis zakat harta yang wajib ditunaikan oleh kakitangan Universiti.
 
Selain itu, taklimat kesedaran menabung bagi menunaikan ibadah haji turut diadakan sebagai usaha mendidik dan menggalakkan warga Universiti membuat perancangan awal untuk melaksanakan ibadah suci haji tersebut.
 
Program ini juga diselaraskan bersama pelaksanaan Permohonan Bantuan Zakat Pelajar Baharu Semester I Sesi 2025/2026, sebagai sebahagian daripada agenda tahunan Unit Zakat PIUMS dalam memperluas manfaat kutipan zakat kepada golongan asnaf di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 
Bagi memeriahkan kempen kesedaran kali ini, Unit Zakat UMS turut menawarkan hadiah cabutan bertuah menarik kepada pencarum Potongan Zakat Berjadual (PZB) bagi tahun 2025 sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan sokongan berterusan warga kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) terhadap amalan berzakat.