Pelajar

BENGKEL KEMAHIRAN INSANIAH UMS SEJATI

Bengkel Kemahiran Insaniah UMS Sejati bertujuan untuk memantapkan dasar dan falsafah PKPP dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Bengkel ini memfokuskan kepada pembangunan daya tahan fizikal, mental, dan spiritual pelajar, di samping menjana pemikiran kreatif, inovatif, serta proaktif bagi memupuk keyakinan dalam mendepani cabaran.

Universiti Malaysia Sabah komited dalam melahirkan graduan yang menguasai kepelbagaian ilmu teknikal dan profesional, serta dilengkapi dengan kemahiran praktikal dan kemahiran insaniah demi memenuhi kriteria graduan yang holistik. Melalui bengkel ini, pelajar akan dapat memahami dan menyedari kepentingan mengaplikasikan kemahiran insaniah dalam kehidupan seharian.

Objektif
  • Melahirkan pelajar yang bersedia dan berkeyakinan untuk menghadiri temu duga kerjaya.

  • Melahirkan pelajar yang berkemahiran tinggi dan boleh berdikari.

  • Mempersiapkan pelajar dari segi fizikal dan mental untuk menempuh alam pekerjaan.

PROGRAM UMS-SPRINT: SDG-ESG

Program UMS-SPRINT, atau turut dikenali sebagai UMS-SISWAPRIHATIN, merupakan program jalinan komuniti yang berteraskan pembangunan kemahiran insaniah. Fokus utama program ini adalah untuk memupuk semangat kerja berpasukan, kepimpinan, serta meningkatkan interaksi dan komunikasi dengan masyarakat setempat. Program ini merupakan sebahagian daripada kursus kokurikulum yang ditetapkan. Melalui program ini, para pelajar akan dibawa ke beberapa lokasi di seluruh negeri Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah motivasi pendidikan, interaksi budaya, program sosial, dan pembangunan insan, serta inisiatif yang mencerminkan keprihatinan dan sumbangan kepada komuniti. Program UMS-SPRINT dianjurkan pada setiap semester melibatkan pelajar yang mengambil subjek kokurikulum di Kampus Induk Kota Kinabalu, Kampus Sandakan, dan Kampus Antarabangsa Labuan.

Pada akhir program, pelajar yang mengambil bahagian dikehendaki menyediakan laporan projek dan membentangkannya. Kualiti laporan dan pembentangan tersebut akan dinilai sebagai sebahagian daripada penilaian akhir kursus.

KARNIVAL KOKURIKULUM (KARKUMS)

Karnival Kokurikulum atau lebih dikenali sebagai KARKUMS adalah kemuncak pembelajaran kokurikulum yang mempamerkan output pembelajaran secara amali melalui persembahan, pameran atau pertandingan. Di adakan pada setiap penghujung semester melibatkan keseluruhan pelajar kokurikulum dari pelbagai komponen kemasyarakatan, kepimpinan, kebudayaan dan kesenian, sukan dan rekreasi, teknologi dan badan-badan beruniform seperti PALAPES, SUKSIS, SISPA, PASKAM, RELASIS dan UMS-SEJATI. Pelajar kokurikulum diwajibkan berpatisipasi dalam program ini sebagai sebahagian daripada penilaian akhir (amali) pembelajaran kokurikulum. Melalui karnival, bakat dan potensi pelajar dinilai oleh tenaga pengajar dan pegawai-pegawai universiti bagi tujuan kecemerlangan selanjutnya ke peringkat yang lebih tinggi.