LABUAN, 18 Jun 2025 – Seramai 150 pelajar tahun akhir dari pelbagai program di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menyertai satu sesi latihan bertajuk "Writing an Effective Resume for Final-Year Students" yang dijalankan di Podium 1G, UMS Labuan.
Latihan ini dikendalikan oleh Dr. Raini Anne Laipan, pelatih (accredited trainer), Penasihat Kerjaya Pelajar dan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang berpengalaman.
Program latihan ini merupakan antara 18 sesi yang dijalankan oleh UMS Labuan sempena sambutan National Training Week 2025.
Ia juga merupakan antara topik yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar.
Turut hadir dalam program ini ialah lima orang pensyarah iaitu Dr. Rini Suryati Sulong (Penasihat Perwakilan Pelajar HE19), Dr. Siti Nur Aqilah AB Wahab (Ketua Program HE19), Dr. Aminah Shari dan Abdul Kamal Char.
Latihan yang berlangsung selama dua jam itu memberi penekanan kepada teknik menulis resume yang berkesan, bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja masa kini.
Pelajar turut didedahkan dengan strategi untuk menonjolkan kelebihan diri dalam resume serta kaedah menyesuaikan permohonan mengikut kekosongan jawatan.
Menurut Ketua Program HE19, Dr. Siti Nur Aqilah, inisiatif menganjurkan sesi latihan ini adalah hasil kerjasama erat bersama perwakilan pelajar dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Latihan seperti ini amat penting dalam membentuk pelajar yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar,”jelas beliau.
Selain daripada ilmu dan kemahiran yang diperoleh, peserta juga menerima e-sijil dan pengiktirafan SDP.
Dengan sokongan padu daripada pihak fakulti, penganjuran sesi seperti ini diharapkan dapat diteruskan sebagai platform pemerkasaan pelajar ke arah kecemerlangan kerjaya.
Ilmu Pelita Hidup.