SERAMAI 50 peserta yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) telah menghadiri Seminar Akreditasi Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di Smart Classroom FKAL, Tingkat 1, Podium Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 10 September 2024.

Seminar yang dianjurkan Pusat Jaminan Kualiti (CQA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS itu dihadiri 30 pensyarah secara fizikal dan 20 lagi secara dalam talian.

Pengarah Pusat Jaminan Kualiti (CQA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Ir Dr Zainal Zakaria berkata seminar itu diadakan bertujuan untuk memberi pengenalan dan pendedahan berkenaan proses permohonan pengiktirafan Akreditasi daripada Badan Profesional MBOT.

“Seminar itu diadakan untuk memberikan penerangan tentang proses mendapatkan akreditasi daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) untuk program sedia ada serta program baru yang bakal ditubuhkan di Fakulti Komputeran dan Informatik,”katanya.

Seminar yang diadakan dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang itu dikendalikan oleh Director Of TITAS MBOT, TS Dr Nor Aznan Mohd Nor.

Sementara itu, Dekan, Fakulti Komputeran dan Informatik, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berharap pensyarah yang menghadiri seminar sehari itu akan menggunakan ruang dan peluang untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Kita akan terus mengadakan pelbagai program agar ia memberi manfaat kepada pensyarah dan kakitangan Fakulti Komputeran dan Informatik,”katanya.

Selain pembentangan oleh penceramah jemputan, seminar itu turut dijayakan dengan sesi soal jawab.

Dr. Mohd Hanafi tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada AJK Pelaksana yang menjayakan seminar berkenaan.

Tamat.