20 November 2024 (RABU) - SERAMAI 70 peserta telah menjayakan Persidangan Perniagaan Antarabangsa Gunaan (AIBC) ke-5, Tahun 2024 yang diadakan di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Pengerusi Penganjur, Dr. Andrew Saw Tek Wei,

Hadir sama pembicara utama, Prof. Dr. Hanudin Amin, Ketua Komunikasi Korporat Labuan International Business and Financial Centre (IBFC), Lalitha Sivanesan, penaja utama acara ini, Prof. Dr. Chong Vui Hiong, peserta serta pensyarah FKAL.

AIBC ke-5 anjuran FKAL bertemakan “Navigating Financial Frontiers: Strategies For Sustainable Business Growth.”

Melalui tema ini, pihak penganjur berharap dapat memperoleh pandangan yang tidak ternilai daripada golongan akademik mengenai cabaran yang dihadapi dalam iklim ekonomi semasa.

Lebih penting lagi, merangka strategi untuk mengatasi cabaran berkenaan.

Persidangan sehari itu mempunyai pelbagai topik menarik termasuk pemasaran, kewangan Islam, ekonomi kewangan, perakaunan dan perniagaan.

Penyelidik terkenal dalam bidang kewangan Islam, Prof. Dr. Hanudin Amin, memaparkan pandangan mengenai isu semasa seperti penerapan perbankan hijau di pasaran berorientasikan Muslim dan persepsi pelabur terhadap instrumen kewangan Islam seperti Dana Islam Bersama.

Manakala Lalitha seorang tokoh industri yang dihormati, berkongsi pandangan, ilmu dan kepakaran yang mempunyai kaitan rapat dengan bidang akademik.

“Saya berharap peserta dapat memperoleh wawasan berharga daripada seseorang yang bekerja di industri, terutama dalam sektor yang memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti dan iklim perniagaan di Labuan,”kata Dr. Andrew Saw Tek Wei,

Dr. Andrew berkata perkembangan instrumen kewangan bukan tradisional seperti Pembiayaan Mikro, Dana Dagangan Bursa (ETF) dan Perbankan Digital.

Pembiayaan Mikro adalah sejenis instrumen kewangan yang serupa dengan bon, di mana wang dikumpulkan daripada pelabur dan disalurkan kepada syarikat-syarikat yang memerlukan dana berkenaan.

Perbezaan utama antara bon dan Pembiayaan Mikro ialah sasaran penerimanya. Syarikat yang biasanya menggunakan Pembiayaan Mikro adalah Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS), manakala bon biasanya digunakan oleh syarikat yang sudah kukuh.

Pembiayaan Mikro membantu PKS yang baru ditubuhkan untuk mendapatkan sokongan kewangan dan membina skor kredit mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa produk tradisional seperti saham dan bon bukanlah satu-satunya cara untuk melabur wang, tetapi terdapat produk baharu yang boleh menjadi pilihan pelaburan.

Oleh itu, dalam konteks penyelidikan, sama ada dalam bidang akademik atau industri, ini adalah peluang baik untuk mempelajari lebih lanjut tentang produk-produk kewangan baharu ini.

Tamat.