LABUAN, 29 Jun 2025 - Kem SMART (Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab) anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung di Bilik Eureka, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 28 hingga 29 Jun 2025.
Seramai 40 orang pelajar UMSKAL telah menyertai program ini yang bertujuan untuk memberikan pendedahan berkaitan kepentingan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat, selain membentuk belia yang berkemahiran tinggi, berwawasan dan bebas daripada ancaman dadah.
Program ini juga menjadi platform penting dalam memperkasa komuniti kampus dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran.
Sepanjang dua hari pelaksanaan, pelbagai aktiviti telah dijalankan, termasuk ceramah, bengkel interaktif dan aktiviti kesedaran yang bertujuan memperkukuh pengetahuan serta membina jati diri peserta agar menjauhi gejala negatif.
Antara pengisian utama yang dijalankan pada hari pertama termasuk Ceramah Dadah: Ancaman kepada Kesihatan & Keselamatan oleh Jeffery Abd Rahman (AADK Labuan), Ceramah “Nilai dan Identiti Belia” oleh Azuan Isaac daripada Majlis Belia Labuan (MBL) dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh Pembimbing Rakan Siswa (PRSKAL).
Hari kedua program diteruskan dengan aktiviti Taekwondo Smart Self Defence yang dikendalikan oleh Master Nordin Muit.
Dalam ucapan penutupan, Pengarah UMSKAL, Professor Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin menyatakan harapan agar pengalaman yang diperoleh, ilmu yang dikongsi serta kemahiran insaniah dan semangat kerjasama yang ditimba sepanjang program ini akan menjadi asas kukuh dalam membentuk peribadi peserta.
Katanya, kerjasama erat antara UMSKAL, AADK dan komuniti luar dilihat sebagai model yang berkesan dalam membanteras penyalahgunaan dadah.
Beliau berharap agar program seperti ini boleh dipeluaskan lagi kepada mahasiswa UMSKAL serta masyarakat setempat.
Professor Ts. Dr. Shamsul Bahari mengucapkan terima kasih kepada AADK dan SHEP atas usaha gigih mereka memastikan pelajar UMSKAL tidak terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah.
Majlis penutupan turut dihadiri oleh Ketua Unit Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) W.P.Labuan, Mohamad Marrahman Marlan, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Nur Iman Reedzal dan Presiden Pembimbing Rakan Siswa (PRSKAL), Nora Abiyana Gabra.
Belia Benci Dadah.