Delegasi Lawatan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) UMSKAL ke Taiwan
7 – 10 Jun 2025.
Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) UMSKAL telah mengadakan lawatan rasmi ke Taiwan pada 7 hingga 10 Jun 2025. Delegasi ini melibatkan seramai 10 orang pelajar dan 2 orang pengiring, terdiri daripada Pengarah delegasi untuk Universiti National Tsing Hua(NTSU) Saudara Eric Siow Jia Jen (Yang Dipertua Beta), Pengarah delegasi untuk National Taiwan Universiti(NTU) Saudari Nurfarahsyikin binti Nillson (Yang Dipertua Alpha), Pengetua Kolej Kediaman selaku ketua pengiring dan seorang Felo sebagai pembantu pengiring.
Sepanjang lawatan, rombongan telah mengunjungi dua universiti terkemuka di Taiwan, iaitu National Tsing Hua University (NTHU) dan National Taiwan University (NTU). Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkukuh hubungan antarabangsa serta mempromosikan UMSKAL di peringkat global.
Dalam sesi pembentangan, para pelajar UMSKAL telah memperkenalkan:
• Program akademik yang ditawarkan di UMSKAL,
• Kemudahan-kemudahan yang disediakan di kolej kediaman, dan
• Memperkenalkan makanan tradisional dari Labuan dan Sabah.
Sebagai sebahagian daripada usaha promosi, mereka turut berkongsi beberapa video yang menampilkan informasi berkaitan UMSKAL dan kehidupan pelajar di kolej kediaman. Pelajar-pelajar dari kedua-dua universiti juga berpeluang merasai keenakan kuih tradisional Sabah seperti Kuih Cincin dan Amplang.
Selain sesi pengenalan dan perkongsian budaya, satu sesi perbincangan berkumpulan telah diadakan antara pelajar UMSKAL dan pelajar universiti di kedua-dua tuan rumah. Antara topik yang dibincangkan termasuk:
• Isu kesihatan mental dalam kalangan remaja
• Akses dan kualiti pendidikan,
• Pemberdayaan belia,
• Visi masa depan generasi muda, serta
• Pertukaran budaya antara negara.
Input yang diperoleh daripada sesi ini diharap dapat dijadikan rujukan dalam merangka serta melaksanakan aktiviti pelajar berimpak tinggi yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Sebagai melengkapkan lawatan, para pelajar turut dibawa melawat kampus dan kolej kediaman universiti bagi melihat secara langsung fasiliti dan suasana pembelajaran yang ditawarkan.