PENGASAS dan Pengerusi Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) Dr Hyginus Lester Junior Lee telah dianugerahkan sebagai Ikon Alumni Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2024, baru-baru ini.
Dr Hyginus percaya moto “Bertekad Cemerlang” UMS telah banyak memberi inspirasi dan motivasi kepadanya untuk terus melakar kejayaan dalam bidang kerjaya selepas tamat pengajian terutamanya dalam tugas sebagai jurulatih pakar di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan sebagai Pengerusi LaRIS.
Beliau melanjutkan pelajaran di Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa (kini IPG Kampus Bahasa Antarabangsa) dan Victoria University of Wellington, New Zealand dalam pengajaran bahasa Inggeris.
Dr Hyginus mendapat ijazah sarjana dalam bidang kurikulum dan pengajaran dari Universiti Utara Malaysia sebelum meneruskan pengajian kedoktoran di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang pengurusan pendidikan di bawah seliaan Profesor Madya Dr Mohd Khairuddin Abdullah @ Jerry.
Tesis kedoktoran beliau memberi fokus kepada efikasi guru, keberkesanan pengajaran dan penggunaan Headcount dalam pencapaian murid.
Dr. Hyginus mengasaskan Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan (LaRIS) pada tahun 2019 dan sehingga kini sebagai pengerusi pengelola International Creativity and Innovation in Education for Language Teaching & STEM sejak 2016.
Beliau juga pengerusi pengelola Perhimpunan Hakim Inovasi Peringkat Kebangsaan (PHIK) sejak 2022 dan LaRIS National Creativity and Innovation Virtual Showcase peringkat kebangsaan.
Dr. Hyginus pernah dilantik sebagai Duta Negara oleh Center for Career and Professional Progression Organization Inc Filipina, ahli Lembaga Penasihat Intercultural & Global Engagement Center LLC, Northwest Indiana Amerika Syarikat, reviewer Universitas Bina Sarana Informatika Indonesia dan penyunting Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA).
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Alumni UMS atas pengiktirafan ini dan berharap dapat memberi sumbangan kepakaran kepada fakultinya dahulu,”katanya.
Sebanyak lapan anugerah diberikan kepada alumni yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dan boleh dijadikan inspirasi kepada alumni dan pelajar UMS.
Prof. Dr. Saw Phei Er dinobatkan Ikon Alumni Ideal, Prof. Dr Ahmad Zaharin Aris (Ikon Alumni Akademik). Dr. Hyginus Lester Junior Lee (Pengurusan), Carla Goncalves De Oliveira Sarmento (Ikon Alumni Antarabangsa), Jasmi Rasit (Kesenian dan Kebudayaan), Azizul Julirin (Keusahawanan), Raymond Toh Meng Hui (Sukan) dan Nur Heliza Helmi (Kesukarelawanan),
Majlis Anugerah Ikon Alumni UMS yang diadakan di Hotel Hilton Kota Kinabalu pada 9 November lalu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin.
Turut hadir Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr Arif @ Kamisan Pusiran, pengurusan tertinggi, kakitangan dan alumni.
Tahniah.
Tamat.