Komuniti Kampung Sungai Bedaun telah menyertai program gotong-royong dan menerima peralatan dan bungkah cendawan di bawah Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI pada 12 Oktober 2024 (SABTU).
Program ini bertujuan untuk memindahkan ilmu dan teknologi untuk memperkasakan sosio-ekonomi komuniti menerusi penanaman cendawan di Perkebunan Rumah Cendawan Dewan Komuniti JPKK Kampung Sungai Bedaun.
Para peserta yang terlibat dalam gotong-royong merangkumi penduduk dan AJK Kg Sungai Bedaun.
Program ini bertujuan membantu menjana pendapatan tambahan untuk komuniti Kg Sungai Bedaun.
Sementara itu, misi utama pelaksanaan Program Pendayaan Komuniti Kementerian Kewangan - Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) adalah untuk meningkatkan peranan universiti awam dalam mendaya upaya komuniti seiring falsafah pembangunan MADANI oleh kerajaan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2024 telah menyatakan komitmen kerajaan untuk menyediakan peruntukan kepada universiti awam bagi pelaksanaan program komuniti.
Melalui program penanaman cendawan ini, proses perbincangan dan penyerahan peralatan telah mula dilaksanakan bermula awal September kepada AJK Kg Sungai Bedaun bagi tempoh 4 bulan dan akan berakhir Disember depan.
Program ini dijalankan atas usaha sama penyelidik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diketuai Dr. Emily Yapp Hon Tshin bersama Dr. Nazarina Jamil, Dr. Sharinah Puasa dan Prof. Madya Dr. Lee Hock Ann yang mempunyai kemahiran serta kepakaran yang diperlukan.
Dr. Emily berkata matlamat projek ini adalah bagi meningkatkan kemahiran peserta komuniti dengan kaedah dan amalan baik penanaman untuk kebolehlaksanaan projek penanaman cendawan melalui pengurusan, penjagaan, pemasaran dan pengurusan kewangan yang betul kepada peserta komuniti untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman, meningkatkan penghasilan cendawan untuk penggunaan tempatan dan potensi pendapatan serta mempromosikan amalan pertanian mampan.
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Bedaun, Rosmani Puteh, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan serta Universiti Malaysia Sabah atas bantuan yang diberikan.
Beliau yakin bahawa program ini mampu meningkatkan semangat kerjasama serta keupayaan ekonomi komuniti.
Turut hadir dalam gotong-royong itu adalah Pengarah Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan, Marysia Modingin yang merupakan rakan strategik dalam program berkenaan.
Marysia berkata beliau menyambut baik usaha kerajaan melalui universiti untuk melaksanakan program pendayaan komuniti ini.
Beliau menyeru komuniti untuk memberikan kerjasama penuh serta sokongan terhadap program ini agar ia dapat berjaya dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Tamat.