11 JANUARI 2025 - Pelajar-pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menjayakan Program SULAM
bersama usahawan IKS Kawasan Pantai Dalit, Tuaran, Sabah yang diadakan di NADI PPR Taman Sri Rugading, Tuaran, Sabah.
Program Pemindahan Ilmu bersama Usahawan IKS Pantai Dalit di bawah Projek Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) yang dikendalikan oleh 10 orang pelajar dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai oleh Chong Choon Pin di bawah selian Pensyarah Kanan, Dr Nazarina Jamil untuk kursus Etika Perniagaan.
Program ini adalah kerjasama bersama Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad (Ko-Perdiks) dan pihak UPPM Pantai Dalit.
Program ini dihadiri seramai 29 orang usahawan Kecil Dan Sederhana (IKS) dari kawasan Pantai Dalit.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu usahawan-usahawan IKS dalam membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka terutamanya dari segi pemasaran dan promosi produk menggunakan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) seperti ChatGPT dan juga Canva.
Selain daripada itu, usahawan juga didedahkan dengan kepentingan amalan etika dalam perniagaan, serta turut memastikan objektif perniagaan mereka selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).
Program ini telah dirasmikan oleh Datuk Johari Saiman, wakil kepada Datuk Jasnih Daya, ADUN N13 Pantai Dalit merangkap Pengerusi Innoprise Sdn Bhd.
Hadir sama ialah Pensyarah Kursus Etika Perniagaan, Dr. Nazarina Jamil, mewakili Dekan FKAL, Prof Madya. Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal. Pengerusi Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad, Azlee Okee, Pegawai Pembangunan Masyarakat N13 UPPM Pantai Dalit, Irwandie Matshah dan Timbalan Pengerusi Ko-Perdiks Dato Paduka Rehan Rahim.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Johari Saiman menekankan pentingnya program SULAM dalam memperkasakan masyarakat setempat melalui kerjasama antara universiti dan komuniti.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas untuk memberi manfaat kepada lebih ramai individu dan komuniti pada masa hadapan.
Beliau berharap agar kejayaan projek ini akan menjadi titik mula kepada kesinambungan program-program seumpamanya pada masa hadapan.
Beliau menekankan sokongan terus menerus daripada pihak pemimpin setempat di Pantai Dalit dan Tuaran amnya, untuk menjayakan program-program yang bermanfaat seperti ini.
Kajian-kajian bersama dengan institusi pengajian tinggi terutamya dari FKAL dan UMS yang melibatkan pendidikan, suara rakyat, dan sikap masyarakat sekitar amat dialu-alukan bagi menilai tahap penerimaan dan penguasaan aspek-aspek berkaitan ekonomi, pendidikan dan kebajikan untuk penyelesaian bersama.
Projek SULAM ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk kerjasama antara universiti dan masyarakat.
Diharapkan program ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan kemajuan teknologi dan pendidikan untuk pembangunan komuniti setempat.
Tahniah Buat Semua.
Tamat.