18 OKTOBER 2024 (JUMAAT) – Mesyuarat pembentangan penemuan awal penyelidikan berkaitan kesatuan sekerja di Sabah dan W.P Labuan telah diadakan dengan jayanya di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Mesyuarat yang bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi itu dihadiri oleh lima penyelidik dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) iaitu Dr. Sharinah Puasa, Dr. Rini Suryati Sulong, Dr. Nurhamizah Mumin @ Osman, Dr. Emily Yapp Hon Tshin dan Dr. Anath Rau Krishnan.
Hadir sama empat pegawai Kesatuan Kakitangan Petroliam Nasional Berhad (KAPENAS) W.P Labuan iaitu Mansyur Lakasa, Shahril Haji Raffiee, Denise Gregory dan M. Noradiman M. Jumat.
Projek penyelidikan ini merupakan kerjasama antara FKAL dan KAPENAS, yang bermula dari 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2024.
Pengumpulan data kuantitatif telah dilaksanakan pada penghujung bulan Jun hingga pertengahan bulan Ogos 2024, melibatkan bantuan daripada pihak KAPENAS serta sembilan enumerator yang dilantik untuk tujuan berkenaan.
Ketua Penyelidik, Dr. Sharinah Puasa dari FKAL, telah membentangkan penemuan awal data kuantitatif yang diperoleh.
Pembentangan itu menggariskan beberapa dapatan kajian yang penting berkaitan tahap pengetahuan dan kesedaran berkesatuan dalam kalangan pekerja bermajikan di Sabah dan W.P Labuan.
Perbincangan yang berlangsung lebih kurang dua jam di antara kedua-dua pihak telah menghasilkan pelbagai idea dan cadangan bernas untuk menambah baik kaedah serta strategi yang sedia ada.
Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran berkesatuan dalam kalangan pekerja bermajikan di kawasan terbabit.
Dengan kerjasama ini, diharapkan penemuan penyelidikan dapat memberi impak positif dalam memperkukuhkan kesatuan sekerja dan meningkatkan hak serta kesejahteraan pekerja di Sabah dan W.P Labuan.
Perbincangan dua hala.
Tamat.