Seramai lima orang pensyarah Fakulti Ekonomi Dan Kewangan Islam (FIEF), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 22 Januari 2025.
Kunjungan delegasi FIEF yang diketuai Dekannya, Dr Muhammad Zaki Haji Zaini itu merupakan lawatan balas selepas rombongan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) mengadakan lawatan kerja ke FIEF UNISSA pada 25 Februari tahun lalu.
Terdahulu ketibaan delegasi FIEF disantuni Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.
Dr. Geoffrey berkata kunjungan balas itu bertujuan pemurnian dokumentasi Memorandum Perjanjian (MoA) yang melibatkan kedua-dua institusi pendidikan tinggi itu.
Katanya, kunjungan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara UMS dan UNISSA, dalam membangunkan program Ijazah Dual (Dual Degree) yang julung kalinya ditawarkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dalam sesi perbincangan yang berlangsung di Bilik Seminar Kiansam, Bangunan Menara UMSKAL itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan terperinci bagi memastikan dokumen MoA yang dirangka mencerminkan komitmen dan aspirasi bersama.
“Pemurnian dokumen ini dijangka membuka laluan kepada pelaksanaan pelbagai program kolaborasi, termasuk penyelidikan bersama, seminar antarabangsa dan mobiliti akademik yang bakal memberi manfaat kepada pelajar serta kakitangan akademik kedua-dua universiti,”katanya berucap pada majlis itu.
Sementara itu, Dr Muhammad Zaki menyatakan penghargaan atas sambutan mesra daripada FKAL UMS dan optimistik terhadap peluang kolaborasi pada masa depan.
Kedua-dua pihak dijangka menandatangani dokumen Memorandum Perjanjian itu dalam tempoh terdekat selepas semua butiran dimuktamadkan.
Inisiatif ini sekali lagi menunjukkan komitmen UMS dalam mengukuhkan hubungan antarabangsa untuk pembangunan pendidikan yang mampan selaras dengan Pelan Strategik UMS untuk menjadikan program akademik bertaraf dunia.
Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Pensyarah Kanan dan pegawai kanan serta kakitangan FKAL.
Turut menyertai lawatan itu ialah Dr Amnisuhailah Abarahan, Dr Hajah Nur Annisa Haji Sarbini, Dr Hajah Siti Nor Surianna Haji Abdul Talip dan Aminur Rasyid Dr Haji Zakaria.
Delegasi FIEF UNISSA turut meninjau pemandangan indah dan menarik WP Labuan dari Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL yang turut menempatkan lokasi melihat anak bulan.
Rombongan pensyarah FIEF UNISSA turut melawat kolej kediaman UMSKAL dan mendengar taklimat ringkas daripada Ketua Sektor Pentadbiran Kolej Kediaman, Norhanizah Adnan.
Semoga Berjumpa Lagi.
Tamat.