HARI Terbuka Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang juga merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) disambut meriah.
Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) merangkap Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri (PKLI) UMS, Prof. Dr. ChM. Ts. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri berkata Hari Terbuka Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) bukan sahaja meraikan pencapaian FKAL tetapi juga peranan fakulti ini dalam memacu kecemerlangan pendidikan, keusahawanan dan pembangunan komuniti.
Katanya, Program UniMADANI di bawah geran UNIMadani, yang dikelola oleh Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) dengan sokongan dana Kementerian Kewangan Malaysia.
Geran ini telah memberi peluang kepada FKAL untuk melaksanakan pelbagai projek komuniti berimpak tinggi di WP Labuan, termasuk Projek Penanaman Cendawan di Kampung Sungai Bedaun oleh Dr. Emily Yapp Hon Tshin, Projek Kek Kebal (Kampung Kilan oleh Dr. Suzillah Sidek, Projek Ayam Penelur (Kampung Pohon Batu) oleh Ooi Ai Yee dan Projek Bagang Ikan Bilis (Kampung Pantai oleh Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.
Beliau berkata Geran UNIMadani ini merupakan salah satu langkah strategik UMS untuk memastikan setiap inisiatif yang dijalankan mampu meningkatkan taraf ekonomi komuniti, menyemai semangat keusahawanan, dan memperkukuh jalinan antara universiti, masyarakat, dan industri.
“Sebagai Pengarah PKLI, saya amat berbangga dapat melihat program-program seperti ini menjadi contoh terbaik bagaimana UMS memanfaatkan geran UniMADANI untuk melaksanakan projek yang menyentuh kehidupan masyarakat secara langsung,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Sempena Ulang Tahun Ke-30 UMS di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL pada 21 November 2024.
Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan. Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, wakil Dekan FKI Prof. Madya Dr. Goh Say Leng. Pengerusi Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL), TS. Ahmad Nazri Jamal dan State Client Relationship Manager Sabah, Bank Islam Malaysia Berhad, Melvin Ogos @ Mohd Yahya Nawid.
Pada majlis itu, Prof. Dr. ChM. Ts. Coswald dan Mohd Yahya menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Niat antara UMS yang diwakili Prof. Madya Dr. Geoffrey bersama Kelab Belia Anak Layangan yang diwakili TS. Ahmad Nazri.
Kata beliau, FKAL juga terus memperkukuhkan usaha ke arah keusahawanan sosial melalui program seperti Labuanpreneur Living Lab, yang menyatukan pelbagai inisiatif di bawah satu platform untuk menyokong usahawan tempatan.
Inisiatif ini melibatkan program BMT-IPR, Asnafpreneur, UniMADANI, sekali gus menjadikan FKAL sebagai peneraju utama dalam pembangunan keusahawanan di WP Labuan.
“Kejayaan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan adalah bukti kepada visi besar UMS untuk terus relevan dalam mendukung aspirasi nasional.
“Dengan gabungan usaha dari fakulti, pusat seperti PKLI dan sokongan komuniti, saya yakin FKAL akan terus menjadi pemacu perubahan positif,”katanya.
Turut diadakan pameran dan jualan daripada pihak industri dan peniaga tempatan.
Tamat.