Mesyuarat penutupan bagi projek penyelidikan dan penerbitan buku hasil kerjasama antara Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Kesatuan Kakitangan Petroliam Nasional Berhad (KAPENAS) Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung dengan jayanya pada 16 April 2025.

Mesyuarat yang diadakan di diadakan di Bilik Mesyuarat Eksekutif Tingkat 13. UMSKAL itu telah dipengerusikan oleh Ketua Penyelidik bagi projek berkenaan, Dr. Sharinah Puasa.

Projek ini pada asalnya ditawarkan oleh KAPENAS kepada FKAL sebagai satu inisiatif memperkukuh jaringan strategik antara institusi pendidikan dan pihak industri.

Projek penyelidikan telah bermula pada Jun 2024 dan tamat pada Disember 2024, sebelum diteruskan dengan fasa penerbitan buku bermula Januari hingga Mac 2025.

Hasil projek ini telah membuahkan dapatan penyelidikan yang sarat dengan informasi, analisis mendalam serta data yang relevan dengan konteks semasa industri.

Dr. Sharinah berkata, projek ini bukan sahaja berjaya menghasilkan penemuan penyelidikan yang bernilai tinggi dari segi kandungan ilmiah, malah penerbitan buku yang terhasil membolehkan ilmu yang dikaji dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh khalayak yang lebih luas.

Kerjasama erat antara FKAL dan KAPENAS WP Labuan turut mendapat pujian kerana komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Hubungan profesional yang kukuh serta semangat kolaborasi yang ditampilkan telah menjadi asas utama kejayaan keseluruhan projek ini.

Mesyuarat ini juga menjadi simbolik kepada kejayaan pelaksanaan projek secara menyeluruh, menandakan bahawa kesemua fasa – daripada penyelidikan hingga penerbitan – telah berjaya dilaksanakan dan disempurnakan sepenuhnya.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri, serta memperkukuh sinergi dalam usaha menghasilkan penyelidikan yang relevan, praktikal dan berorientasikan masa depan.

Turut bersama Dr Sharinah Puasa ialah empat Pensyarah Kanan FKAL iaitu Dr Nurhamiza Mumin, Dr Rini Suryati Sulong, Dr Emily Yapp dan Dr Anath Rau Krishnan.

Manakala KAPENAS WP Labuan diketuai Presidennya, Omar Kamaruddin.

Turut hadir Timbalan Presiden, Romiedie Lukas, Setiausaha, Mansyur Lakasa, Bendahari, Khairil Effi Kamil, Timbalan Setiausaha,  Denise Gregory dan Ahli Jawatankuasa, Shahril Haji Raffiee.