8 JANUARI 2025 - Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf daripada Program Kewangan Islam Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus  Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya mengadakan program “Muamalat Marvels” yang dilaksanakan di Dewan Utama, UMSKAL.

Program Muamalat Marvels ini merupakan hasil kerjasama antara UMSKAL di bawah program SULAM, KitaFund, Pengurusan Wakaf, Sekolah Kebangsaan Bebuloh dan Rancha-Rancha Aerated Water (Air Minuman).

Program ini telah dihadiri seramai 68 orang murid Tahun 6 dari SK Bebuloh, Labuan, yang disertai oleh tiga orang guru pengiring.

Objektif Program Muamalat Marvels ini adalah untuk meningkatkan kefahaman tentang konsep asas muamalat dalam Islam, untuk membentuk sikap keadilan, kejujuran dan amanah dalam kalangan generasi muda serta untuk menggalakkan penghayatan nilai keberkatan dalam muamalat.

Justeru itu, program Muamalat Marvels juga dapat menanamkan nilai-nilai positif dan menjadikan muamalat sebagai panduan dalam membentuk generasi masa hadapan yang bertanggungjawab serta beretika.

Dalam program ini juga, murid-murid didedahkan kepada prinsip-prinsip asas seperti keadilan, kejujuran dan amanah dalam urusan harian mereka termasuklah urusan jual beli dan perniagaan.

Pada program itu, Dr. Hajjah Haneffa Muchlis Gazali yang merupakan penyelaras program Pengurusan Wakaf, memainkan peranan penting sebagai penasihat untuk memastikan program Muamalat Marvels dapat berjalan dengan lancar.

Beliau yang merasmikan program itu turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada penceramah jemputan, Nurul Izzati Abd Razak dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bebuloh, Maidan Dali @ Sumardi Yussof. Ilmu yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Nurul Izzati berkaitan “Apakah Itu Muamalat?” secara ringkas kepada murid-murid Tahun 6 yang hadir.

Pelaksanaan program ini diketuai oleh Nurul Darrisa Mohd Darwiza bersama 10 orang ahli kumpulannya iaitu Saidatul Nasuha Sarip, Rashila Masnin, Nur Aina Najwa Abdul Aleem, Nurul Nabila Husna Rosli, Nur Ishamina Safarudin, Siti Serifah Liyana Serip, Nurazarina Ismail, Siti Noorasyikin Taisih dan Nor Syahirah Syafika Andry.

Terdapat juga beberapa aktiviti yang menarik yang dijalankan dalam program Muamalat Marvels ini seperti Avenger’s Path, Muamalat Mindscape, Red Light, Green Light - Halal vs Haram Transactions, Stark’s Bingo Battle dan Marvel Marketplace.

Setiap permainan itu mengambil masa selama 30 minit dan pemenang diambil kira di hujung permainan.

Pendekatan yang digunakan dalam seminar ini adalah bersifat interaktif dan menyeronokkan dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan usia mereka supaya mereka dapat memahami konsep-konsep muamalat dengan cara yang mudah dan relevan, di samping dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan harian mereka.

Oleh itu, pihak penganjur berharap agar program yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat kepada peserta-peserta yang terlibat.

Akhir sekali, Maidan Dali mengucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar UMSKAL dan penyelaras program, Dr Hajjah Haneffa Muchlis Gazali kerana berjaya melancarkan program “Muamalat Marvels” ini dengan jayanya.

Tamat.