LABUAN – Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti dan membudayakan nilai kesukarelawanan, Kelab Sukarelawan Siswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (KESUWA-UMSKAL) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan (JKWPL) serta komuniti tempatan telah berjaya melaksanakan program kesihatan komuniti berimpak tinggi bertemakan Labuan Smiles Through Services: Your Care, Their Smiles di Balai Raya Kampung Sungai Miri, Labuan.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial, di samping menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda. Antara aktiviti utama termasuklah saringan kesihatan percuma, sukaneka santai serta pertandingan mewarna yang disertai oleh kanak-kanak dan warga emas, menjadikan program ini inklusif kepada semua lapisan masyarakat.
Program itu diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Mohd Zaki Ab Hamid.
Turut hadir Ketua Kampung Kampung Sungai Miri Mahmud Haji Asad, Penasihat Kelab HEPA dan Kelab Sukarelawan Siswa (KESUWA-KAL), UMSKAL, Noreffaiza Jali dan Pengarah Program Labuan Smiles Through Services: Your Care, Their Smiles, Tharini Nair a/p Jayaraj.
Menariknya, program ini turut melibatkan aktiviti Zoomers anjuran JKWPL, iaitu satu inisiatif khas di mana petugas kesihatan melakukan lawatan ke beberapa buah rumah terpilih di Kampung Sungai Miri.
Mereka menyampaikan informasi kesihatan, melakukan pemantauan dan memberikan perkhidmatan secara terus kepada penduduk yang tidak dapat hadir ke lokasi program utama.
Inisiatif ini mendapat sambutan baik kerana menyantuni golongan yang kurang upaya, warga emas dan penduduk berisiko tinggi secara bersemuka di kediaman mereka.
Penglibatan aktif pelajar, kerjasama erat bersama pihak agensi kesihatan serta sambutan hangat daripada masyarakat membuktikan kejayaan program ini bukan sahaja dari sudut penganjuran, malah dari sudut nilai kemanusiaan dan impak sosial yang terhasil.
Labuan Smiles Through Services membuktikan bahawa apabila kepedulian dan tindakan digabungkan, ia mampu menjadi pencetus kepada komuniti yang lebih sihat, inklusif dan sejahtera.
Pelajar UMSKAL Peduli Komuniti.